PRN Melaka: Tujuh daripada sembilan calon PKR muka baharu

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 3:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Tujuh daripada sembilan calon PKR muka baharu
Adam Adli

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada keseluruhan sembilan calon yang mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, hanya dua calon iaitu Farhana Hayani Mohd Nasir yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Datuk Ginie Lim di Machap Jaya mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya.

Menurutnya, tujuh calon lain terdiri daripada barisan kepimpinan baharu yang hadir dengan pengalaman serta tanggungjawab berbeza untuk membawa aspirasi parti kepada masyarakat.

“Semua orang masuk bertanding untuk menang. Namun, kemenangan bukan hanya bergantung kepada nama atau kekuatan peribadi calon, tetapi juga hubungan dengan masyarakat, gerak kerja jentera serta agenda yang dibawa.

“Harapan saya, mereka dapat memastikan perkara yang ingin disampaikan kepada masyarakat dilakukan secara berkesan sepanjang tempoh berkempen,” katanya ditemui pada Program Madani Kita (PMK) Tahun 2026 di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, di sini pada Ahad.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar pada Sabtu mengumumkan 21 calon PH membabitkan PKR bertanding di sembilan kerusi, Amanah (lima) dan DAP (tujuh).

Sembilan calon PKR ialah Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara), Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), Datuk Ginie Lim (Machap Jaya) dan P Denesh (Asahan).

Turut dipertaruhkan Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Farzana Hayani (Klebang), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim) dan Muhammad Faiq Azman (Serkam).

Tujuh calon DAP ialah Jegasilan K (Gadek), Jason Nathan (Pengkalan Batu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Poo Long Suan (Duyong) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).

Sementara lima daripada Amanah ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Kuala Linggi), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Durian Tunggal), Adly Zahari (Bukit Katil), Kapten (B) Mohamad Jaafar (Telok Mas) dan Rahayu Hamzah (Merlimau).

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, calon perlu menjaga akhlak dan peribadi sepanjang berkempen selain meletakkan kepentingan masyarakat serta pengundi sebagai agenda utama.

Ujar beliau, peluang untuk menang bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan setiap calon sepanjang tempoh berkempen dan sejauh mana mereka mampu meyakinkan pengundi.

“Kita tidak mahu memberikan gambaran yang salah kepada masyarakat kerana PKR sendiri perlu bekerja keras untuk meyakinkan rakyat terhadap apa yang telah dilaksanakan, khususnya di peringkat Persekutuan.

“Semangat dan prinsip yang sama mahu dibawa ke Melaka, termasuk memastikan tadbir urus yang baik, selain calon memahami tanggungjawab mereka terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berharap semua calon diberikan peluang yang adil sepanjang tempoh berkempen untuk menyampaikan agenda dan meyakinkan pengundi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved