
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui hari ini (1 Ogos) merupakan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Buat rakyat Negeri Sembilan khususnya pengundi kali pertama, sudah pasti ia menjadi hari yang paling dinanti-nantikan.
Pemuda Mengundi Buat Kali Pertama Dakwa Nama Dipotong Sebagai Sudah Mengundi
Namun berbeza buat seorang pemuda, Afif Hakimi Razali yang kecewa apabila tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama dalam PRN Negeri Sembilan hari ini.
Dakwa Afif yang berusia 20 tahun, dia terkejut apabila mengetahui namanya sudah ‘dipotong’ dalam buku senarai semakan selepas menyerahkan kad pengenalan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk mengundi.
“Selepas masuk ke bilik darjah saya berjumpa dengan petugas SPR dan serahkan kad pengenalan.
“Selepas petugas SPR membuat semakan, dia dapati nama saya sudah ditanda dalam satu buku seolah-olah saya sudah mengundi sedangkan saya belum mengundi lagi, malah jari saya belum dicelup dakwat,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Pemuda Dapati Nama Pada Satu Lagi Buku Di Luar Bilik Darjah Masih Belum Ditanda
Dakwa Afif, dia kemudiannya keluar dan menyemak nama dengan petugas SPR pada sebuah lagi buku di luar bilik darjah.
Apa yang menjadi perhatian adalah Afif mendakwa namanya pada buku terbabit masih belum ditanda lagi.
“Kemudian saya hubungi ibu bapa dan bekas ustaz saya (Zulkifli Muhamed) untuk maklumkan perkara ini, pada masa sama, saya cuba dapatkan penjelasan daripada petugas, namun dia hanya berdiam diri.
“Petugas juga meminta saya supaya balik tanpa mengundi sekiranya tidak berminat untuk meneruskannya atau boleh membuat laporan polis sendiri jika masih mahu mengundi,” jelasnya.
Teruja Nak Mengundi Buat Kali Pertama Namun Kecewa Dengan Insiden Terbabit
Tambah Afif yang merupakan penuntut Politeknik Port Dickson, dia sangat kesal dengan kejadian tersebut apatah lagi sebelum itu dia teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.
“Saya tak pasti apa masalahnya, tetapi saya rasa ia mungkin disebabkan kecuaian atau masalah teknikal.
“Tetapi apa yang lebih dikesalkan adalah saya diminta untuk selesaikan isu ini sendiri.
“Ia seolah menghalang hak saya untuk mengundi. Sebulan sebelum mengundi saya sudah tahu apa yang akan saya undi, tetapi jadi seperti ini pula.
“Harap kejadian ini tak berulang kepada pengundi lain dan SPR perbaikinya,” jelasnya.
Afif turut membuat laporan polis di Balai Polis Senawang berhubung insiden berkenaan dan ditemani bekas ustaznya yang juga Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang.
Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang Terkilan Tiada Penjelasan Tuntas Dari SPR
Dalam pada itu, Ustaz Zulkifli yang dihubungi BuzzKini berkata, beliau terkilan dengan insiden yang menimpa bekas anak muridnya itu.
Ini kerana tiada penjelasan tuntas daripada SPR dan beliau mendakwa suruhanjaya itu juga lepas tangan dengan terhadap pengadu.
Baca Artikel Berkaitan: PRN Negeri Sembilan: Calon BN Dun Chuah Buat Laporan Polis Susulan Video Tular Dakwa ‘Beli Undi’
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor & N9 Bakal Berlangsung Tidak Lama Lagi, Ini Info Penting Pengundi Perlu Tahu






