
JAGUH lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mempunyai dua alasan untuk mengesahkan pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Komanwel kali ini.
Selain misi mengabadikan namanya sebagai juara sulung, Abdul Latif juga berhasrat untuk menggunakan pentas kali ini bagi memecahkan rekod dunia miliknya.
“Ini kali pertama acara saya dipertandingkan di Sukan Komanwel. Saya menunggu selama dua edisi apabila acara ini tidak dipertandingkan dan tahun ini akhirnya T20 dimasukkan. Saya sudah menetapkan sasaran untuk memecahkan rekod dunia.
“Saya mahu memberikan yang terbaik kerana acara ini mungkin tidak akan dipertandingkan lagi pada edisi akan datang. Jika boleh, saya mahu melakukan lompatan sejauh 7.80 meter (m) atau lebih,” katanya.
Ketika ini, atlet berusia 29 tahun ini memegang rekod dunia acara T20 dengan catatan 7.67m dan hadir selaki juara paralimpik dua kali serta juara dunia lima kali.
Abdul Latif sebelum ini berjaya tewaskan atlet normal ketika memenangi Kejohanan Terbuka Malaysia menerusi lompatan 7.76m sebelum memenangi Terbuka Kedah dengan catatan 7.94m.
“Sekarang saya memang bebas daripada kecederaan. Sasaran saya sekarang adalah untuk mencapai prestasi kemuncak di Sukan Komanwel 2026.
“Saya rasa ini memang tahun terbaik buat saya kerana prestasi saya musim ini semakin baik. Catatan 7.76 meter di Terbuka Malaysia memberikan keyakinan kepada saya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik di Glasgow. Jika saya berjaya mengulanginya, ia akan menjadi rekod dunia baharu,” katanya.
The post Sukan Komanwel: Latif mahu lunas dua impian appeared first on Kosmo Digital.






