PRN Negeri Sembilan: 200 anggota KDNKA bantu penugasan keselamatan

LocalPolitics
22 Jul 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: 200 anggota KDNKA bantu penugasan keselamatan
Mohd Yusri

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dijangka menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota bagi membantu penugasan keselamatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu merupakan sebahagian daripada persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman, lancar dan terkawal.

"Seperti pelaksanaan PRN di Johor sebelum ini, semua jabatan dalam PDRM akan digerakkan mengikut keperluan bagi membantu dari aspek sumber manusia dan logistik," katanya.

Mohd Yusri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan AM (PGA) di sini pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, KDNKA sebelum ini menghantar seramai 850 pegawai dan anggota bagi membantu penugasan PRN Johor.

"Namun bagi PRN Negeri Sembilan, jumlah itu dijangka sekitar 200 orang berikutan saiz negeri dan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri yang lebih kecil

"Saya telah mengarahkan semua pegawai supaya mengikuti latihan, program pembangunan serta pendedahan berkaitan penugasan pilihan raya termasuk menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata, latihan dan pendedahan itu penting bagi memastikan setiap pegawai dan anggota memahami prosedur penugasan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan di lapangan.

"Aspek keselamatan pengundi akan terus menjadi keutamaan agar orang ramai dapat keluar mengundi dalam keadaan selamat tanpa rasa takut atau bimbang.

"Hasrat kita ialah memastikan perjalanan PRN Negeri Sembilan berlangsung dengan baik supaya rakyat dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana yang aman dan selamat," katanya.

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved