PRN Negeri Sembilan: Bina sekolah jadi keutamaan jika kekal di Lenggeng

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 9:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Bina sekolah jadi keutamaan jika kekal di Lenggeng

SEREMBAN: Pembinaan sebuah sekolah baharu di Bandar Tasik Senangin di Lenggeng akan menjadi keutamaan sekiranya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu berkata, keperluan itu semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk hasil pembangunan beberapa kawasan perumahan baharu termasuk Taman Arowana yang tidak diimbangi dengan penyediaan kemudahan pendidikan.

Beliau menjelaskan keadaan itu menyebabkan berlaku kekurangan tempat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan di kawasan berkenaan disebabkan terdapat pembinaan 3,000 rumah baharu.

Image from: PRN Negeri Sembilan: Bina sekolah jadi keutamaan jika kekal di Lenggeng
MOHD. ASNA AMIN

“Apabila kerajaan negeri meluluskan pembangunan perumahan, pembinaan sekolah juga sepatutnya diwajibkan. Itu yang tidak berlaku sebelum ini sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk.

“Bandar Tasik Senangin kini mempunyai tiga pembangunan perumahan, tetapi belum mempunyai sekolah yang mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Asna berkata, usaha ke arah pembinaan sekolah itu telah dimulakan apabila proses pengambilan tanah selesai dilaksanakan.

Katanya, langkah seterusnya ialah memastikan projek tersebut dimasukkan dalam belanjawan kerajaan negeri supaya pembinaannya dapat disegerakan.

Mengulas peluang mempertahankan kerusi DUN Lenggeng, beliau mengaku kemenangan pada PRN lalu hanya diperoleh dengan majoriti tipis, namun yakin kedudukannya kini lebih kukuh selepas tiga tahun berkhidmat di kawasan itu.

“Saya bukan hanya turun ketika musim pilihan raya. Hampir setiap hari saya berada di lapangan membantu rakyat.

“Dulu orang tidak mengenali saya kerana saya calon baharu, tetapi sepanjang tiga tahun ini saya telah bertemu dan membantu ribuan penduduk.

“Saya percaya penerimaan pengundi sudah jauh berbeza berbanding pilihan raya lalu,” katanya.

Katanya, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kali ini mampu memberi kelebihan berbanding pertandingan sebelum ini yang menyaksikan kemenangan dengan majoriti 685 undi. – UTUSAN

The post PRN Negeri Sembilan: Bina sekolah jadi keutamaan jika kekal di Lenggeng appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved