PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin dakwa kakak ditawar wang undi parti tertentu

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 4:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin dakwa kakak ditawar wang undi parti tertentu
Jalaluddin

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa kakaknya di Jelebu ditawarkan sejumlah wang oleh sebuah parti supaya mengundi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Menurutnya, perkara sama turut difahamkan berlaku di beberapa lokasi lain dan turut tersebar di media sosial.

"Bila saya dapat berita itu, saya pun tidak percaya kerana pada jangkaan pemikiran saya, ia tidak wajar dilakukan oleh mana-mana parti atau pihak sekali pun.

"Bagi duit kepada orang kampung RM100 ke RM300 dengan meminta kad pengenalan mereka. Kakak saya juga telefon dan menghantar gambar memaklumkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular video dan beberapa gambar di media sosial yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Chuah, Port Dickson dipercayai untuk menerima wang sebagai imbuhan yang diberikan oleh sebuah parti sempena pilihan raya ini.

Jalaluddin yang merupakan calon Barisan Nasiona(BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang turut menyifatkan perbuatan itu sebagai merendahkan maruah masyarakat Negeri Sembilan dengan meletakkan nilai wang sebagai umpan untuk mendapatkan sokongan.

"Saya tidak khuatir kehilangan pengundi dan penyokong kalau mereka menggunakan duit kerana saya tahu rakyat Negeri Sembilan tidak akan terpedaya.

"Apa yang saya sangat sedih ialah apabila mereka menilai keluarga saya dan masyarakat Negeri Sembilan dengan nilai RM100, RM200 dan RM300 untuk memancing undi," katanya.

Beliau berharap, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan berkenaan.

"Tolonglah, ini Negeri Sembilan. Nilai masyarakat di negeri ini bukan semurah itu.

"Kita hendak membentuk kerajaan dan membawa wawasan baharu untuk lima tahun akan datang dengan cara yang betul, bukannya membeli setiap undi," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved