
SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan rasa sedih apabila mendakwa keluarganya termasuk masyarakat Negeri Sembilan dinilai hanya dengan wang tunai RM100, RM200 dan RM300 sebagai umpan untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya yang juga Pengarah PRN Negeri bagi Barisan Nasional (BN), kakaknya di Kuala Klawang, Jelebu memaklumkan ditawarkan sejumlah wang oleh sebuah parti supaya mengundi mereka pada PRN yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini.
“Saya sangat sedih apabila mereka menilai keluarga saya dan masyarakat Negeri Sembilan dengan nilai RM100, RM200 dan RM300 untuk memancing undi.
“Saya tidak khuatir kehilangan pengundi dan penyokong jika mereka menggunakan duit kerana saya percaya rakyat Negeri Sembilan tidak akan terperdaya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, pada mulanya beliau sukar mempercayai dakwaan tersebut kerana beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh parti politik kerajaan yang menjadi pemerintah apatah lagi parti politik yang berpengalaman.
“Bagi duit di kampung RM100, RM200, RM300 panggil orang ramai minta kad pengenalan itu pun dah satu kesalahan, kita tiada hak meminta kad pengenalan orang ramai, kita tidak kuasa itu kecuali pihak polis.
“Kakak saya sendiri menghubungi saya dan menghantar gambar dan video kat saya memaklumkan perkara itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kakak saya ditawarkan duit undi parti tertentu – Jalaluddin appeared first on Kosmo Digital.






