
KUALA LUMPUR - Institusi Diraja Negeri Sembilan kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti.
Menegaskan perkara itu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Besar Negeri Sembilan Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, institusi Raja-Raja Melayu tidak menyokong atau terlibat dengan sebarang parti politik.
Beliau memberi ingatan, semua pihak dilarang menggunakan gambar, video atau bahan yang melibatkan keluarga diraja bagi tujuan berkempen.
“Institusi diraja merupakan lambang perpaduan yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.
“Istana Diraja sentiasa berpegang kepada prinsip berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada dakwaan serta cubaan mengaitkan pihak istana dengan kepentingan politik menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Tegas Aziz, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan lain yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau mana-mana ahli kerabat diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.
“Pada masa sama, semua calon yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak mengeksploitasi isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang tempoh berkempen.
“Jalankanlah kempen secara bertanggungjawab, beretika dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negeri terus terpelihara,” katanya.
Kempen PRN Negeri Sembilan kini memasuki fasa akhir menjelang hari pengundian yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini. - Getaran, 27 Julai 2026






