PRN Negeri Sembilan: KJ jangka BN ada peluang walaupun berdepan saingan sengit

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 2:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: KJ jangka BN ada peluang walaupun berdepan saingan sengit

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun dipercayai masih mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan dan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan pemerhatiannya selepas beberapa hari berkempen di negeri itu, pertandingan kali ini lebih mencabar berbanding PRN Johor sebelum ini.

Justeru, beliau berkata, baki tiga hari tempoh berkempen ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon BN untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan menjelaskan tawaran yang ingin dibawa sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.

“Saya sudah kempen beberapa hari di Negeri Sembilan dan saya dapati mungkin saingan di Negeri Sembilan ini lebih sengit berbanding dengan Johor. Ini kita cakap secara jujur.

“Tetapi, kita ada lagi tiga hari untuk berkempen. Saya harap calon-calon BN akan terus berjumpa dengan pengundi dan menawarkan apa yang mereka hendak buat sebagai wakil rakyat nanti,” katanya selepas menghadiri forum Lepak Pemimpin Ekonomi Kuasa Penjenamaan, Pengaruh dan Penceritaan sempena CTOS SME Biz Day Pulau Pinang di Bayan Lepas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada sokongan pengundi muda terhadap BN seperti yang disaksikan di Johor mampu diterjemahkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Khairy berkata, walaupun persaingan dijangka berlangsung dengan cukup rapat, BN masih mempunyai peluang untuk memperoleh mandat sekiranya seluruh jentera parti terus bekerja keras hingga hari terakhir kempen.

Dalam pada itu, beliau mengakui keputusan pilihan raya kali ini mungkin ditentukan dengan majoriti yang kecil berikutan persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding.

Hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos ini manakala tarikh mengundi awal jatuh pada hari ini.

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan beberapa gabungan utama termasuk BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta calon bebas di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN

The post PRN Negeri Sembilan: KJ jangka BN ada peluang walaupun berdepan saingan sengit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved