PRN Negeri Sembilan: Pas mungkin bertanding di kerusi tradisi DAP

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 10:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Pas mungkin bertanding di kerusi tradisi DAP
Mohd Fairuz ketika ditemui pemberita selepas program Ceramah Umum dan Pelancaran Logo PRN Pas Negeri Sembilan di sini pada malam Ahad.
Image from: PRN Negeri Sembilan: Pas mungkin bertanding di kerusi tradisi DAP
Mohd Fairuz melancarkan Logo PRN Pas Negeri Sembilan.

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Pas Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi tradisi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, perkara itu bergantung kepada rundingan pembahagian kerusi sekiranya terdapat kerjasama melibatkan parti-parti lain.

“Kita tahu ada parti-parti lain yang mahu bersama dengan kita dan apabila berlaku proses pembahagian kerusi, mungkin kerusi majoriti Melayu tidak mencukupi untuk kita tandingi.

“Jadi, kemungkinan kita akan bertanding di kerusi milik Pakatan Harapan(PH) dan DAP yang kita tengok 40 peratus pengundinya adalah Melayu,” katanya ditemui pemberita selepas program Ceramah Umum dan Pelancaran Logo PRN Pas Negeri Sembilan di sini pada malam Ahad.

**media[3558430]**

Menurutnya, seperti mana PRN pada tahun 2023, pihaknya menyasarkan bertanding di lebih 10 kerusi, namun tertakluk kepada keputusan rundingan di peringkat pucuk pimpinan parti.

Namun katanya, pihaknya berharap dapat mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.

Ditanya mengenai proses pemilihan calon, Mohd Fairuz berkata, ia hampir 90 peratus selesai dan antara kriteria utama calon yang diberi perhatian ialah integriti, kemampuan berkhidmat kepada rakyat serta berusia 60 tahun ke bawah.

Selain itu, beliau turut mengingatkan seluruh jentera dan ahli parti supaya menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan parti.

“Saya tahu ahli-ahli Pas mempunyai komitmen dan ketaatan yang tinggi kepada parti.

“Sebab itu saya berharap semua pihak dapat menerima apa juga keputusan yang dibuat demi kepentingan perjuangan dan kemenangan parti,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN 2023, Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Pas mememangi tiga kerusi iaitu Paroi, Serting dan Bagan Pinang manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) menang di Labu dan Gemas.