PRN Negeri Sembilan: PH Kekal Kuasai Majoriti Kerusi Bukan Melayu Walapun Loke Tewas Di Chennah 

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 10:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Negeri Sembilan: PH Kekal Kuasai Majoriti Kerusi Bukan Melayu Walapun Loke Tewas Di Chennah 

SEREMBAN - Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyaksikan kejutan besar, apabila dua gergasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun dan Anthony Loke tewas dalam cubaan memenangi kerusi masing-masing. 

Bagaimanapun, kekalahan mereka tidak menjejaskan penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kebanyakan kerusi yang memiliki  majoriti pengundi bukan Melayu.

Loke, yang mempertahankan kerusi Chennah dengan majoriti 2,200 undi pada pilihan raya negeri 2023, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon, sekali gus mencerminkan prestasi kurang memberangsangkan gabungan itu di beberapa kerusi campuran.

Walaupun kehilangan Chennah, DAP masih berjaya mempertahankan sebahagian besar kubu tradisinya apabila mengekalkan penguasaan di kerusi Seremban Jaya, Mambau, Rahang, Lukut, Bukit Kepayang, Nilai, Bahau dan Temiang.

PH turut kehilangan kerusi Repah selepas calon MCA, Koh Kim Swee, berjaya merampas kerusi tersebut.

Kemerosotan PH tidak hanya melibatkan DAP, malah PKR dan Amanah turut menyaksikan pengurangan jumlah kerusi yang dimenangi apabila BN dan Perikatan Nasional (PN) berjaya menembusi beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai kedua-dua parti itu.

Antara keputusan paling mengejutkan ialah kekalahan Aminuddin di kerusi Linggi, manakala Sikamat yang sekian lama dianggap sebagai kubu kuat PKR turut jatuh ke tangan PN.

Sehingga jam 9 malam, keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendahului dengan kemenangan di 18 kerusi iaitu Chennah, Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah, Johol, Labu, Chembong, Rantau, Kota, Linggi, Gemencheh dan Repah.

PN pula memperoleh tujuh kerusi membabitkan Klawang, Serting, Sikamat, Ampangan, Paroi, Bagan Pinang dan Gemas, sekali gus menunjukkan peningkatan sokongan di beberapa kawasan penting ketika landskap politik Negeri Sembilan terus berubah. - Getaran, 1 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved