MELAKA - Pakatan Harapan (PH) Melaka sedang meneliti kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu bagi mengenal pasti kawasan berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Langkah itu bertujuan meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi gabungan berkenaan, berbanding lima kerusi dimilikinya ketika ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, fokus utama gabungan itu ketika ini adalah menambah jumlah kemenangan dengan mengambil kira kekuatan semasa parti, keputusan PRN lalu serta prestasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Menurutnya, PH Melaka yakin masih terdapat ruang untuk meningkatkan penguasaan kerusi DUN pada PRN akan datang.
“Jumlah kerusi yang akan ditandingi masih belum dimuktamadkan, namun kita sedang mengenal pasti kawasan yang menjadi kekuatan kita.
“Kita mempunyai tiga kawasan Parlimen iaitu Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya yang mempunyai potensi di setiap kawasan.
“Selain itu, kita juga melihat beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dimenangi seperti Tangga Batu, Masjid Tanah dan beberapa kawasan di Jasin,” katanya.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PH Melaka kini memberi tumpuan kepada beberapa kerusi strategik yang dilihat mempunyai peluang untuk dimenangi, selain memastikan kesiapsiagaan jentera parti di setiap kawasan.
“Kita optimis untuk menambah jumlah kerusi yang kita ada. Kita akan melihat potensi setiap kerusi sebelum mengenal pasti kawasan yang akan ditandingi (sebagai tambahan).
“Yang paling penting, kita sudah memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Kita serahkan kepada mereka untuk membuat penilaian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata PH Melaka sentiasa terbuka untuk meneroka kerjasama politik dengan mana-mana parti, namun setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan, termasuk dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, sebarang rundingan perlu terlebih dahulu dibincangkan dalam kalangan pimpinan PH di peringkat negeri sebelum sebarang langkah lanjut diambil. - Getaran, 9 Ogos 2026






