PRN Sarawak: GPS umum kesemua 82 calon, tampil 11 muka baharu

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Sarawak: GPS umum kesemua 82 calon, tampil 11 muka baharu
GPS mengumumkan kesemua 82 calon yang akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13, termasuk 11 muka baharu atau kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon. Foto hiasan

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Rabu mengumumkan kesemua 82 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, termasuk 11 muka baharu atau kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon.

Pengumuman dibuat Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Abang Johari berkata, langkah menampilkan muka baharu melibatkan gabungan golongan profesional dan pemuda daripada kesemua parti komponen itu merupakan sebahagian daripada usaha meremajakan parti serta memberi peluang kepada barisan pelapis kepimpinan negeri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang yang telah berkhidmat mewakili GPS pada penggal lepas dan berundur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu. Ini adalah langkah untuk kita meremajakan GPS,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon itu.

Mengenai keputusan beberapa parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah untuk tidak bertanding pada PRN kali ini, Abang Johari merakamkan penghargaan atas pendirian tersebut demi memelihara kestabilan politik negeri.

Beliau yang juga Premier Sarawak dan Presiden PBB mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Gedong bagi penggal kedua selepas menyandang kerusi DUN Satok selama sembilan penggal sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved