Wi Kim Swee muncul pemegang saham utama Sarawak Consolidated dengan 70.81 juta saham

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Wi Kim Swee muncul pemegang saham utama Sarawak Consolidated dengan 70.81 juta saham Image from: Wi Kim Swee muncul pemegang saham utama Sarawak Consolidated dengan 70.81 juta saham sarah25/11/2026 - 14:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Wi Kim Swee muncul sebagai pemegang saham besar baharu Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) dengan pegangan sebanyak 70.81 juta saham biasa, ketika kumpulan itu terus memperluas perniagaan pembinaan dan kejuruteraannya di Sabah.

 

SCIB dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah pegangan tersebut, sebanyak 40.54 juta saham diperoleh daripada Datuk Chong Loong Men menerusi urus niaga langsung pada 23 November 2026 pada harga 15 sen sesaham, membabitkan nilai kira-kira RM6.08 juta, manakala baki 30.27 juta saham diperoleh menerusi pembelian tambahan.

 

Pada masa sama, Loong Men tidak lagi menjadi pemegang saham besar SCIB selepas melupuskan keseluruhan pegangannya dalam syarikat itu. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas SCIB sebelum meletak jawatan pada 18 September 2026 atas sebab peribadi dan komitmen lain.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Michael Tan Thian Zhi berkata, kemasukan Kim Swee mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju kumpulan serta kemajuan perniagaan pembinaan dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), khususnya di Sabah.

 

SCIB peroleh empat projek bernilai RM90.28 juta di Sabah

Sejak April 2026, SCIB memperoleh empat projek di Sabah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM90.28 juta, melibatkan kerja pembinaan di SMK Balaban Jaya di Beluran, Universiti Malaysia Sabah, Sekolah Kebangsaan Kaingaran di Tambunan dan blok asrama pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.

 

Pada 19 Ogos 2026, anak syarikat milik penuh SCIB, SCIB Ecobuild Sdn Bhd turut memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi cadangan pembangunan 144 unit kediaman bertingkat tinggi di Penampang, Sabah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM83.19 juta.

 

Pada September 2026, kumpulan itu turut mengumumkan cadangan pengambilalihan hartanah di Kolombong, Kota Kinabalu pada harga RM15.2 juta, melibatkan enam lot kedai dua tingkat yang telah disewakan dan dua petak tanah belum dibangunkan, bagi menjana pendapatan sewa berulang, pembangunan masa hadapan serta penubuhan pejabat cawangan SCIB di Sabah.

 

SCIB yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek, pengurusan kos yang berkesan dan amalan pembiayaan berhemat bagi memperkukuh buku tempahan serta mengembangkan operasi jangka panjangnya di Malaysia Timur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved