PRN Sarawak: Mesyuarat Khas SPR 6 November depan

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 4:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Sarawak: Mesyuarat Khas SPR 6 November depan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pada November depan.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya secara rasmi telah menerima pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada Speaker, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada hari ini.

Katanya, pemakluman itu memaklumkan pembubaran DUN Sarawak Ke-19 seperti termaktub di bawah Perkara 21 (2) Perlembagaan Sarawak berkuat kuasa semalam.

“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.

“Sehubungan dengan itu, satu Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak yang Ke-13 akan diadakan pada 6 November (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.

“Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Sarawak yang Ke-13 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut selesai,” katanya. – UTUSAN

The post PRN Sarawak: Mesyuarat Khas SPR 6 November depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved