PRN : Tiada isu penempatan kurang selesa bagi anggota FRU di Pelabuhan Klang - KPN

10 Aug 2023 • 10:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu penginapan kurang selesa di berek Balai Polis Pelabuhan Klang, Selangor bagi anggota keselamatan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), seperti ditularkan di media sosial, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau menjelaskan, berlaku masalah komunikasi sehingga seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di tempat salah, iaitu berek polis lama di kawasan yang sama dan bukannya di berek penempatan sebenar.

“Penempatan sebenar adalah di Balai Polis Pelabuhan Klang dan penempatan ini untuk anggota FRU yang bertugas pada hari mengundi Sabtu ini. Mereka tidak bermalam, tempat itu untuk mereka rehat dan solat sahaja, surau pun ada, juga kemudahan seperti katil dan kipas untuk keselesaan mereka,” katanya.

“Disebabkan video TikTok yang dibuat oleh anggota FRU telah tular di media sosial, saya terus ke Balai Polis Pelabuhan Klang untuk meninjau,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau juga telah meminta Komander FRU untuk mengenal pasti dan memeriksa anggota terbabit yang memuat naik video itu, sekali gus memberi jaminan penempatan yang disediakan kepada anggota lengkap dengan kemudahan yang selesa.

Hari ini tular sebuah video berdurasi seminit 14 saat di TikTok yang dimuat naik anggota FRU berhubung penempatan berek polis lama di Pelabuhan Klang.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, ke dalam notis merah Polis Antarabangsa (Interpol), beliau berkata PDRM bersedia untuk membantu SPRM.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan SPRM akan memohon Notis Merah polis antarabangsa (Interpol) terhadap Muhammad Adlan dan Mansoor Saat, 69, yang dipercayai melarikan diri keluar negara susulan dakwaan penyelewengan yang sedang disiasat SPRM.

Muhammad Adlan dan Mansoor Saat disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. -Bernama