KOTA BHARU – Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) memanfaatkan bulan Ramadan melalui Iftar Perdana sebagai platform memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli bagi memantapkan usaha mengembalikan masyarakat kepada al-Quran menerusi perjuangan 'Saving The Ummah'
Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, penganjuran iftar perdana yang diadakan setiap Ramadan itu menyatukan penggerak Rumah Ngaji bagi membentuk gelombang al-Quran melalui konsep baca, faham, amal dan sampaikan.
“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi medan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penggerak Rumah Ngaji serta rakan strategik yang sama-sama membawa misi mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.
“Kita mahu membentuk manusia terlebih dahulu sebelum membina dunia, selari dengan perjuangan 'Saving The Ummah' yang menekankan penghayatan al-Quran dalam kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3457568]**
Program yang berlangsung di Hotel Citra, Kadok pada Sabtu itu menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada wakil Rumah Ngaji seluruh Kelantan, ahli-ahli, wakil agensi kerajaan dan badan swasta serta pihak Akademi Kenegaraan Malaysia selaku penaja.
Menurut beliau, PRNNK ketika ini mempunyai hampir 200 Rumah Ngaji aktif daripada kira-kira 500 yang disenaraikan sejak awal penubuhannya di negeri ini.
Dalam pada itu, Adnan berkata, majlis berkenaan turut mengambil kesempatan meraikan golongan memerlukan termasuk anak-anak tahfiz serta kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sindrom Down.
“Seramai 50 pelajar tahfiz dan kira-kira 20 kanak-kanak OKU sindrom Down berusia antara 12 hingga 18 tahun diraikan serta menerima sumbangan dalam usaha berkongsi keberkatan Ramadan bersama mereka,” katanya.
**media[3457566]**
Menurut beliau, suasana iftar yang penuh semangat itu juga menjadi medan pertemuan para penggerak Rumah Ngaji sebelum mereka kembali bergabung dalam program World #QuranHour yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
Tambahnya, ahli dan penggerak Rumah Ngaji antara tulang belakang dalam menggerakkan program World #QuranHour di peringkat komuniti di negeri ini dengan kerjasama penduduk setempat serta pelbagai agensi.
Majlis turut diisi dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah sebelum para hadirin menikmati moreh bersama sebagai simbolik pengukuhan ukhuwah dalam kalangan komuniti Rumah Ngaji di negeri ini.




