amree16/11/2026 - 14:21 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bakal mendapat akses ke pasaran China menerusi program perintis Malaysia Mall di platform e-dagang, sekali gus membuka peluang kepada usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif baharu itu akan menyasarkan perniagaan industri tempatan yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan tinggi untuk dipasarkan melalui Alibaba, Tmall dan Taobao.
Beliau menambah, kerajaan mahu memastikan sektor e-dagang berfungsi secara dua hala, bukan sekadar menjadi saluran kemasukan pelbagai produk asing ke pasaran tempatan, malah turut membantu untuk membawa banyak barangan Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Menurutnya, kerjasama berkenaan susulan daripada lawatan kerja Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim ke Alibaba Centre di Guangzhou, China pada 3 September 2026.
"Selain China, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) turut meneroka penggunaan platform Daraz bagi memperluas akses perniagaan ke pasaran rantau Asia Selatan pula," jelas Mohamad menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) pada Waktu Pertanyaan di Dewan Rakyat.
Kata beliau, SME Corporation Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan operator Lazada Malaysia pada 15 Oktober lalu bersempena dengan persidangan Enterprise 50 bagi membangunkan Inisiatif Eksport Digital PKS.

Inisiatif itu ujar Mohamad, bertujuan membantu syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa menerusi ekosistem Alibaba, termasuk menerusi Alibaba.com, Tmall, Taobao dan Lazada.
Dalam perkembangan yang berkaitan jelas beliau, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad sedang meneroka peluang kerjasama dengan Alibaba dan Lazada susulan lawatan kerja ke Shanghai, China pada 22 September 2026.
"Sebagai langkah awal, sebanyak 30 hingga 50 perniagaan berpotensi akan dikenal pasti untuk mengikuti sesi kesedaran, latihan dan program perintis pendaftaran e-dagang," kata beliau.
Mohamad menambah, Kuskop akan mempergiat usaha memperkenalkan peluang berkenaan kepada PKS di seluruh negara, termasuk menerusi program turun padang dan jelajah penerangan pada tahun depan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai tarikh pelaksanaan program serta akses kepada usahawan mikro di luar bandar, beliau tidak menetapkan tarikh pembukaan penyertaan.
Bagaimanapun ujar beliau, pejabat SME Corporation Malaysia di setiap negeri akan melaksanakan pelbagai program pembangunan keupayaan dan latihan.
"Usaha ini penting bagi memastikan usahawan memahami cara menggunakan platform e-dagang untuk memasarkan produk dan kemudian menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya. - DagangNews.com





