
KUALA NERUS – Prof. Dr. Suriyani Muhamad dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketujuh berkuatkuasa Isnin ini.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Zamri Ibrahim yang bersara baru-baru ini.
Suriyani berazam membawa UMT terus membina kekuatannya berasaskan bidang teras iaitu kelautan dan akuatik di samping memperkasa bidang-bidang strategik yang berpotensi tinggi untuk berkembang.
“Kita akan memberi keutamaan memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri dan keperluan masa hadapan negara.
“Antara pembangunan strategik diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard (Limbungan Kapal Pengajaran) yang bakal memperkukuh lagi ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim,” katanya di sini hari ini.
Suriyani berkata, UMT juga akan memberikan perhatian terhadap penyelidikan berimpak tinggi bagi memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap universiti malah industri, masyarakat dan negara.
Beliau berkata, kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa turut akan terus diperluas.
Dalam perkembangan sama, Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT, Prof. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT. – KOSMO! ONLINE
The post Prof. Dr. Suriyani dilantik Naib Canselor UMT baharu appeared first on Kosmo Online.





