
Pasukan Wind Orkestra Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SesmaWinds), Kuala Terengganu mencipta kejayaan berganda apabila meraih Pingat Emas dan Naib Johan Keseluruhan pada Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-24 baru-baru ini.
Lebih manis, pasukan itu turut membawa pulang Anugerah Konduktor Terbaik menerusi Emeer Zaqirill, 16, sekali gus melakar pencapaian terbaik sejak penubuhan SesmaWinds pada tahun 1997.
Festival yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menghimpunkan 18 sekolah berasrama penuh dari seluruh negara untuk bersaing di pentas kebangsaan.
Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan SesmaWinds mengekalkan prestasi membanggakan menerusi persembahan bertenaga, kesatuan bunyi serta disiplin tinggi dalam kalangan ahlinya.
Bagi 70 ahli pasukan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga empat, kejayaan itu menjadi hasil kepada usaha dan latihan yang dilakukan secara berterusan sebelum pertandingan.
Guru Muzik dan Guru Pembimbing SesmaWinds, Azlina Zin berkata, perjalanan mereka menuju ke pentas pertandingan itu bukanlah mudah apabila terpaksa membahagikan masa antara latihan, pembelajaran dan pelbagai aktiviti sekolah.
Malah, pasukan itu berdepan kekangan lain termasuk masa latihan terhad, selain beberapa alat muzik yang mengalami masalah dan keuzuran.
Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk memberikan persembahan terbaik.
Ujarnya lagi, komitmen ditunjukkan setiap ahli sepanjang tempoh persiapan menjadi antara faktor utama yang membantu pasukan itu mencapai keputusan membanggakan.
“Saya menyaksikan sendiri 70 orang murid berusaha memberikan komitmen, walaupun mereka perlu berdepan dengan pelbagai kekangan.
“Antaranya, masa latihan yang terhad, kekurangan dan keuzuran alat muzik serta kesibukan mereka dengan waktu pembelajaran dan aktiviti sekolah,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan tersebut, para pelajar perlu bijak mengurus masa dan mengekalkan disiplin supaya latihan yang dijalankan tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
“Bagi saya, kejayaan SesmaWinds bukan sekadar tentang sebuah kemenangan atau pingat yang dibawa pulang.

“Lebih penting, ia adalah tentang perjalanan panjang yang dipenuhi latihan, pengorbanan, kesabaran dan kerjasama daripada semua pihak yang sentiasa berada di belakang pasukan ini,” katanya.
Dia menambah, sokongan pihak pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa dan alumni turut memainkan peranan penting dalam memastikan pasukan itu mampu terus berkembang serta bersaing di peringkat kebangsaan.
“Setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Ada yang membantu dari segi latihan, pengurusan, sokongan moral dan ada yang sentiasa memberikan dorongan kepada murid ketika mereka berdepan cabaran.
“Jadi, apabila kejayaan ini dicapai, ia bukan kejayaan seorang guru atau seorang murid sahaja, tetapi kejayaan seluruh keluarga besar SesmaWinds,” katanya.
Sementara itu, kejayaan tersebut turut menjadi pentas istimewa buat Emeer apabila pelajar itu dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik dalam pertandingan berkenaan.
Bagi Emeer, pengiktirafan itu merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna selepas melalui perjalanan panjang dalam bidang muzik sejak menyertai SesmaWinds.
Menariknya, Emeer pada awalnya menyertai pasukan tersebut sebagai pemain bahagian perkusi sebelum diberi kepercayaan untuk memikul amanah sebagai konduktor bermula tahun ini.
Katanya, minat terhadap muzik pula bermula sejak kecil apabila ibunya mendorongnya mencuba sesuatu yang baharu sebelum permainan dram menjadi hobi yang begitu dekat dengan dirinya.
“Saya mula bermain dram kerana ibu menggalakkan saya mencuba sesuatu yang baharu.
“Pada awalnya, hanya sekadar mencuba tetapi lama-kelamaan bermain dram menjadi hobi dan sebahagian daripada diri saya,” katanya.
Pengalaman sebagai pemain perkusi selama beberapa tahun memberi Emeer asas penting dalam memahami rentak, tempo dan kesatuan bunyi sebelum dia melangkah ke hadapan sebagai konduktor.
“Saya rasa agak ironik, kalau dulu saya selalu ditemani batang dram, kini saya ditemani batang konduktor pula,” katanya.
Emeer turut menyampaikan penghargaan kepada Cikgu Azlina serta Cikgu Mustaqim yang banyak memberikan tunjuk ajar dan dorongan kepadanya.
Katanya, kedua-dua guru berkenaan turut melihat potensi seni muzik dalam dirinya dan menggalakkannya meneroka bidang penciptaan serta gubahan muzik.
“Hasil dorongan mereka, saya mula mencuba untuk mencipta dan mengubah beberapa buah lagu. Setakat ini, saya telah menghasilkan tiga buah lagu orkestra,” katanya.
Bakat Emeer dalam bidang muzik turut mendapat pengiktirafan apabila dia menerima gelaran Konduktor Cemerlang dalam Pertandingan Festival Kesenian Muzik Malaysia 2026 pada Jun lalu.
The post SesmaWinds cipta kejayaan berganda dalam orkestra appeared first on Kosmo Online.






