KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa profesion undang-undang perlu melalui transformasi mendalam dari segi nilai, kemahiran dan pengetahuan untuk kekal relevan di tengah-tengah era kecerdasan buatan (AI) serta perubahan global yang pesat.
Dalam ucaptama beliau di Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) yang julung kali diadakan, Anwar berkata, masa depan profesion peguam mesti melangkaui penguasaan undang-undang bertulis dan keputusan terdahulu kerana tugas-tugas itu kini semakin diambil alih oleh sistem AI yang canggih.
"Menjelang 2030, peguam tidak lagi sekadar menjadi ‘enjin carian dalam kes saman’, kerana dunia menuntut lebih daripada itu. Oleh itu, kemahiran dan nilai yang kita bentuk hari ini mestilah yang sukar digantikan dan mampu melengkapi keupayaan AI pada masa ini serta masa depan.
"Pelajar undang-undang perlu dilatih menjadi penapis beretika di tengah lautan data yang luas ini. Peguam pada tahun 2030 dan selepas itu bukan sahaja mesti cekap dalam teknologi dan AI tetapi mampu juga mentafsir data dengan bijak serta berpegang pada budaya menggunakan undang-undang untuk manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan bertemakan 'Lawyering 2030 - Skills, Strategy & Legal Education' di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Penaung CLEA, Tan Sri Nallini Pathmanathan; Pro-Canselor UM, Tan Sri Zainun Ali; serta Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Anwar menekankan bahawa nilai dan etika harus terus menjadi teras pembangunan undang-undang dalam era kemajuan teknologi yang pesat, dengan rangka kerja MADANI memberi keutamaan kepada pendidikan generasi muda agar menegakkan sifat belas kasihan, maruah dan tanggungjawab moral.
Perdana Menteri berkata, bahawa peguam mesti berperanan sebagai pihak berwibawa dari segi etika dan tonggak moral bagi memastikan keputusan undang-undang bukan sahaja tepat tetapi juga adil, di samping menunjukkan empati dalam mengendalikan pertikaian.
Beliau berkata, bahawa perubahan itu akan membolehkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam penyelesaian pertikaian, termasuk pengantaraan, rundingan dan perdamaian, terutamanya dalam menangani proses undang-undang.
"Aset digital dan perubahan iklim, misalnya telah mengubah landskap aset undang-undang dan jenis penyelesaian yang perlu dicari. Oleh itu, peguam masa depan mesti cekap mengemudi undang-undang pelbagai bidang kuasa sepertimana mereka memahami undang-undang secara mendalam," katanya.
Sementara bagi pengamal undang-undang pada masa kini, beliau menekankan bahawa mereka perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa agar dapat memenuhi tuntutan dunia moden hari ini.
"Kita harus sentiasa ingat bahawa undang-undang berperanan memudahkan kehidupan seharian rakyat. Oleh itu, memahami keperluan orang ramai adalah penting, bukannya menjadikan undang-undang seolah-olah sukar untuk diakses oleh rakyat biasa," katanya.
Dalam konteks agenda reformasi negara, Anwar menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk menambah baik akses kepada keadilan, khususnya bagi komuniti yang terpinggir sejajar dengan visi Malaysia MADANI.
Perdana Menteri menegaskan bahawa walaupun pelbagai kemajuan dicapai, lebih banyak usaha diperlukan untuk mencapai apa yang beliau menyifatkan sebagai legal singularity atau suatu keadaan di mana setiap rakyat benar-benar mempunyai akses kepada keadilan dan pelbagai bentuk penyelesaian bermakna.- Bernama
