KLANG, 16 FEB: Program berorientasikan kemasyarakatan yang mengeratkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum akan terus diperhebat bagi memperkukuh hubungan kebersamaan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata agensi di bawah seliaannya sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk terus memperkukuhkan kesatuan dan keharmonian demi kemakmuran negara.

“Program Jalinan Muhibbah Madani, Dialog Harmoni, Ziarah Madani serta lain-lain program berorientasikan kemasyarakatan akan terus diperhebat, semoga ia akan mendatangkan manfaat kepada negara.
“Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meletakkan agenda perpaduan salah satu keutamaan untuk digerakkan bersungguh-sungguh secara bersepadu dengan semua pihak untuk menghasilkan dampak yang besar,” kata Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berucap pada program Jalinan Muhibah Madani Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Persatuan Hokkien Klang, hari ini yang dihadiri lebih 200 hadirin.
Sementara itu Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia Prof. Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata program berkenaan diadakan bagi mempromosi pemahaman dan toleransi antara komuniti Islam dan bukan Islam yang terdapat di Malaysia.

“Untuk meningkatkan interaksi dan integrasi sosial antara pelbagai kaum di Malaysia enam prinsip keterangkuman perlu diamalkan seperti saling hormat-menghormati, toleransi, memahami, menerima dan meraikan kepelbagaian, bersyukur dan berterima kasih.
“Kita tidak mahu lihat perpecahan dalam negara kerana hormat-menghormati antara satu sama lain adalah teras Malaysia Madani,” katanya.
The post Program berorientasi kemasyarakatan, perpaduan terus diperhebat demi kemakmuran appeared first on Selangorkini.

