JERANTUT – Susulan sambutan menggalakkan daripada program terdahulu, Tim Khidmat Komuniti ZarrazWorld bersama Zetta Wellness kembali menganjurkan Program Saringan Kesihatan Komuniti secara percuma di Masjid Tengku Ahmad Jerantut di sini, baru-baru ini.
Program itu diadakan hasil permintaan jemaah dan penduduk setempat yang mahu inisiatif berkenaan diteruskan selepas memberi manfaat kepada komuniti sebelum ini.
Melalui program itu, orang ramai berpeluang menjalani saringan kesihatan, mendapatkan konsultasi serta pendedahan awal mengenai tahap kesihatan masing-masing.
**media[3531513]**
Program yang berlangsung seawal jam 7 pagi sehingga 6 petang itu menerima sambutan memberangsangkan apabila hampir 50 jemaah hadir bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Pada masa sama, program ini adalah inisiatif berterusan yang bertujuan mengimarahkan masjid dan menjadikan institusi tersebut sebagai pusat kesejahteraan masyarakat setempat.
Antara peserta yang menyertai program itu ialah Haji Roslan yang menjalani Terapi 4 Dalam 1 meliputi terapi tangas, tangan, kaki dan belakang selama kira-kira 30 minit menggunakan sistem terapi bersepadu.
Selain itu, sesi analisis dan saringan darah turut dikendalikan oleh Ustaz Salleh Marsahid bagi membantu peserta memahami keadaan kesihatan mereka dengan lebih tepat.
Hasmurni Alias pula memberikan penerangan serta konsultasi berkaitan kesejahteraan dan penjagaan kesihatan kepada peserta yang hadir. Turut membantu Zaimi Ismail, Salmah Daud, Siti Nur Huda dan Maija Aslim.
**media[3531516]**
Sementara itu, Pengurus Besar ZarrazWorld, Amirul Edzuan atau lebih dikenali GM1 berkata, program seperti itu wajar diperluaskan ke lebih banyak masjid di seluruh negara kerana mampu meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat selain mengimarahkan institusi masjid.
Menurut beliau, masjid merupakan lokasi terbaik untuk mendekati masyarakat melalui aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada jemaah dan komuniti setempat.
“Kami percaya setiap masjid mempunyai potensi menjadi pusat kesejahteraan masyarakat. Program kesihatan di masjid bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kesihatan, malah mampu mengeratkan silaturahim dan mendekatkan masyarakat dengan aktiviti masjid,” katanya.
ZarrazWorld dan Zetta Wellness turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak masjid, surau, NGO, persatuan dan komuniti yang berminat menganjurkan program sama di kawasan masing-masing boleh menghubungi GM1 di talian 0136324341.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 60 masjid di seluruh negara telah memberi peluang kepada Tim Khidmat Komuniti ZarrazWorld menjalankan Program Saringan Kesihatan Komuniti secara percuma.
“Alhamdulillah kebanyakan jemaah yang hadir memberikan maklum balas yang sangat positif selepas menjalani sesi terapi dan pemeriksaan kesihatan sepanjang program berlangsung.” katanya.
Syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Sixtyninez Holdings Sdn Bhd iaitu Foundernya, Datuk Seri Ahmad Zulfaisal Jamaluddin.






