MAKKAH – Program Arafah #QuranHour yang dianjurkan menerusi kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dan Sinar Harian menjadi platform buat jemaah haji memperkukuh interaksi bersama al-Quran sebagai persediaan menghadapi kemuncak ibadah di Arafah.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tabung Haji, Shahrin Awaluddin berkata, program bertemakan ‘The Chosen One’ (Yang Terpilih) itu bertujuan mengajak jemaah bukan sahaja membaca al-Quran, malah meneliti serta memahami setiap ayat suci ALLAH SWT untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, pengisian program di Arafah kali ini akan diperkasakan dengan aktiviti tadabur al-Quran selain amalan lazim seperti berdoa, berzikir, berwirid dan mendengar khutbah Arafah.
“Kita menggalakkan jemaah memperbanyak taamul (interaksi) bersama al-Quran. Ia bukan sahaja dilakukan di Arafah, malah telah dimulakan sejak berada di Makkah dan Madinah.
“Malah, kita turut merancang mengadakan majlis khatam al-Quran di Mina nanti agar perjalanan haji jemaah dipenuhi dengan bekalan ayat-ayat Allah dan hadis Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika ditemui dalam majlis taklimat tadabur baru-baru ini.
Tahun ini, dua surah dipilih sebagai tema utama iaitu Surah al-Muzzammil dan Surah al-Hajj.
Menurutnya, pemilihan Surah al-Hajj amat signifikan kerana ia merupakan satu-satunya rukun Islam yang diabadikan sebagai nama surah dalam al-Quran.
**media[3530619]**
“Melalui tadabur surah-surah ini, kita mahu jemaah benar-benar memahami maqasid atau tujuan dan makna sebenar ibadah haji serta akan memperincikan isi penting tadabur Surah al-Muzzammil buat jemaah,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut diharap dapat mengubah kefahaman umat Islam daripada sekadar tilawah, hafazan dan tafsir kepada tahap lebih tinggi iaitu tadabur bagi meneliti makna tersirat untuk dilaksanakan tuntutannya.
Mengulas tema ‘The Chosen One’, beliau berkata, setiap jemaah yang terpilih menjadi duyufurrahman atau tetamu ALLAH memikul amanah besar sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kita berharap melalui penghayatan al-Quran ini, jemaah dapat membawa pulang semangat haji ke Malaysia untuk menjadi insan yang lebih soleh dan muslih, iaitu memperbaiki diri serta masyarakat,” ujarnya.
Program Arafah #QuranHour merupakan sebahagian daripada agenda membudayakan al-Quran dalam kalangan umat Islam supaya ibadah haji tidak sekadar menjadi ritual, sebaliknya mampu membawa transformasi jiwa yang mendalam.





