Program Kompas Sejahtera bakal diperluas

13 Nov 2026 • 5:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Program Kompas Sejahtera bakal diperluas

NIBONG TEBAL: Jabatan Penjara Malaysia merancang memperluas Program Kompas Sejahtera ke seluruh negara bagi membantu prospek membina semula kehidupan berkeluarga khususnya dalam mengembalikan peranan mereka sebagai bapa dan suami yang bertanggungjawab.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, pendekatan pemulihan itu penting bagi membentuk prospek yang bukan sahaja mampu memperbaiki diri, malah bersedia kembali kepada keluarga dan masyarakat dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan individu yang dibebaskan kelak mempunyai kesedaran, pengetahuan serta kemahiran untuk kembali menjalani kehidupan bermasyarakat sekali gus mengurangkan risiko pengulangan kesalahan.

”Prospek yang bakal keluar nanti akan mempunyai kesedaran, pengetahuan dan kemahiran untuk kembali menjadi bapa, suami dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Ia dapat mengurangkan risiko pengulangan kes baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kompas Sejahtera Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 di Penjara Seberang Perai, di sini hari ini.

Rosoman berkata, Jabatan Penjara turut bercadang memperluaskan penggunaan modul kebapaan yang dibangunkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk dilaksanakan di institusi penjara seluruh Malaysia.

”Kita berharap kedua-dua modul pemulihan yang dibangunkan Jabatan Penjara dan modul kebapaan LPPKN dapat dimanfaatkan di seluruh institusi penjara di negara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat keperluan memberikan pengiktirafan serta sijil kepada pegawai yang mengikuti latihan berkaitan bagi mengiktiraf kemahiran dan kepakaran mereka sebagai fasilitator.

Tambahnya, latihan berkenaan membolehkan fasilitator yang dilatih melalui pendekatan Training of Trainers (ToT) memperluaskan pelaksanaan modul kesejahteraan di institusi masing-masing.

Katanya, program berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan jati diri, hala tuju kehidupan, peranan kebapaan, pengurusan diri serta pembentukan hubungan kekeluargaan yang harmoni dan sejahtera.

”Program ini membabitkan 30 fasilitator terdiri daripada pegawai dan kakitangan institusi penjara Zon Utara termasuk Penjara Wanita Pulau Pinang, Penjara Jawi, Penjara Perlis dan Penjara Perak selain memberi manfaat kepada 224 prospek lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, Rosoman berkata, tanggungjawab seorang bapa bukan sekadar memenuhi keperluan material keluarga sebaliknya turut merangkumi kasih sayang, perhatian, pendidikan dan bimbingan kepada anak-anak. – UTUSAN

The post Program Kompas Sejahtera bakal diperluas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved