liza16/03/2026 - 10:54 KUALA LUMPUR 16 Mac – Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) semakin mendapat minat yang tinggi daripada warga negara-negara Teluk, kata Presiden Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew.
Beliau berkata situasi itu adalah disebabkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang neutral dari segi geopolitik.
“Kami sudah menerima beberapa pertanyaan dan jumlahnya semakin meningkat. Mereka belum mula menghantar permohonan kerana perlu mengesahkan beberapa dokumen terlebih dahulu. Jadi, ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Menurut Liew, pertanyaan tersebut kebanyakannya datang daripada mereka yang tinggal di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Qatar.
“Calon berpotensi ini kebanyakannya profesional bekerja, pesara dan ibu bapa yang mencari peluang pendidikan untuk anak-anak mereka.
“Apabila warga ini mencari rumah kedua, Malaysia adalah salah satu pilihan mereka,” tambah beliau.
Untuk memanfaatkan minat ini, Liew berkata kerajaan perlu meningkatkan kesedaran tentang Malaysia kepada warga dan ekspatriat yang berada di negara-negara tersebut.
Sementara itu, Pengasas bersama dan CEO Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata Malaysia adalah destinasi semula jadi bagi mereka yang tinggal di Timur Tengah, memandangkan statusnya sebagai tempat selamat dan jauh dari konflik di Timur Tengah.
“Malaysia juga adalah negara majoriti Muslim yang dapat menyediakan persekitaran yang sesuai dengan pembeli dari Timur Tengah.
“Mereka boleh mendapatkan makanan halal dan akses kepada kewangan Islam di Malaysia. Di luar Timur Tengah, jarang ada pasaran menarik dengan kepelbagaian bahasa dengan ciri-ciri sebegini,” katanya.

Kashif meramalkan lebih ramai warga negara dari rantau itu akan datang ke Malaysia untuk belajar, melancong dan melabur.
“Kami mempunyai beberapa bukti bahawa pembeli dari rantau Timur Tengah telah mengalihkan perhatian mereka ke Malaysia,” katanya.
Kashif berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program yang menarik dalam mempromosikan Malaysia melalui program MM2H dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menumpukan perhatian kepada pengguna di Timur Tengah sebagai pasaran pelancongan utama pada 2026,” katanya.
Bagi MM2H, kementerian sebelum ini menyatakan bahawa program itu telah menjana jumlah keseluruhan sebanyak RM3.87 bilion untuk ekonomi negara sehingga tahun lalu.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia telah lama membina komuniti ekspatriat dari Timur Tengah yang terus berkembang.
“Ini memberi negara kelebihan berbanding Thailand dan Singapura dalam menarik ekspatriat Timur Tengah, terutamanya jika ketidakstabilan di rantau itu berterusan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peningkatan permohonan MM2H dari negara-negara Teluk.
“Pemaju hartanah yang besar mungkin akan menawarkan projek perumahan yang lebih sesuai sekiranya momentum ini terus meningkat,” katanya.
Namun, pakar ekonomi Geoffrey Williams berpendapat bahawa dalam jangka pendek, konflik di Timur Tengah mungkin tidak menyebabkan lonjakan ekspatriat negara Teluk kerana program MM2H nampaknya kurang menarik berbanding skim visa lain di peringkat global.
“Sistem pengambilan ekspatriat juga mungkin menyukarkan majikan untuk mengambil bakat asing berkemahiran tinggi.
“Perlu ada faedah lain selain menawarkan visa kediaman. Tetapi dalam jangka panjang, Malaysia akan tetap menarik bagi mereka dari China, Rusia dan zon konflik lain,” tambah beliau. - DagangNews.com



