
KINABATANGAN: Siri program outreach sekolah bagi mengurangkan konflik manusia-buaya selesai dilaksanakan di lima sekolah di kawasan Kinabatangan, dengan memberi pengetahuan keselamatan penting kepada pelajar tempatan serta menggalakkan kehidupan bersama secara harmoni dengan spesies Crocodylus porosus.
Dianjurkan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dengan pembiayaan Yayasan Hasanah menerusi Geran Khas Hasanah (HSG) 2025, program pendidikan itu melibatkan pelajar sekolah menengah dari SMK Bukit Garam 2 dan SMK Paris, serta murid sekolah rendah dari SK Batu Puteh, SK Paris dan SK Bukit Garam.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek perintis selama dua tahun bertajuk “Mengurangkan Konflik Manusia-Buaya dan Memperkasa Pemuliharaan Berasaskan Komuniti Crocodylus porosus di Habitat Akuatik Sabah”.
FaridahProjek itu menggunakan pendekatan berasaskan bukti dan berteraskan komuniti bagi meningkatkan keselamatan awam, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar serta mengumpul data penting untuk pengurusan pemuliharaan buaya jangka panjang di seluruh Sabah.
Selepas sesi ceramah interaktif dan bengkel awal, fasilitator projek mengadakan lawatan susulan bagi menilai tahap pengekalan pengetahuan dalam kalangan pelajar.
Di peringkat sekolah rendah, 30 murid setiap sekolah menyertai pertandingan menghasilkan poster secara berkumpulan, dengan mempamerkan pemahaman mereka mengenai keselamatan berkaitan buaya dan kepentingan ekologinya menerusi hasil seni kreatif.
Program itu mendapat sokongan padu daripada pentadbir sekolah yang menekankan kepentingan ekonomi dan ekologi dalam melindungi hidupan liar tempatan.
“Buaya ialah antara spesies ‘Big 5’ ikonik Borneo dan tarikan utama pelancong yang mengunjungi Kinabatangan, sekali gus menyumbang secara langsung kepada ekonomi ekopelancongan tempatan,” kata Guru Besar SK Batu Puteh Ahmed bin Tawang.
“Selain nilai ekonomi, buaya memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem akuatik yang sihat. Masyarakat hanya perlu mencari jalan tengah yang mampan untuk hidup bersama dengan selamat,” katanya.
Senada dengan pandangan itu, Guru Besar SK Bukit Garam Puan Faridah Jamil berkongsi pengalaman peribadinya sebagai penduduk asal kawasan berkenaan.
“Sebagai Orang Sungai tempatan, saya membesar dengan berenang di Sungai Kinabatangan tanpa rasa takut. Lama-kelamaan, habitat yang semakin mengecil, sebahagian besarnya akibat aktiviti manusia, menyebabkan buaya menjadi pemangsa oportunis.
Ahmed“Kami amat menghargai agensi seperti Pusat Lapangan Danau Girang yang datang mendidik anak-anak muda bahawa hidup bersama buaya sememangnya boleh dilakukan dan pemusnahan bukan satu-satunya penyelesaian,” katanya.
“Kewujudan bersama bermula dengan pengetahuan. Apabila kita mengajar anak-anak memahami buaya dan bukannya takut kepada haiwan itu, kita bukan sahaja melindungi manusia, malah melindungi salah satu spesies paling penting di Borneo.
“Masa depan Kinabatangan bergantung kepada usaha mencari keseimbangan agar masyarakat dan buaya dapat terus hidup berkembang maju,” kata Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang Prof Benoit Goossens.
Dengan fasa program mendekati sekolah kini selesai, pasukan projek Pusat Lapangan Danau Girang akan memberi tumpuan kepada sesi kesedaran komuniti yang akan datang di kampung-kampung sekitar daerah Kinabatangan.



