Kolej Komuniti Sabak Bernam anjur program perkongsian ilmu Malaysia-Indonesia

LocalWomen's Fashion
19 Aug 2026 • 6:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kolej Komuniti Sabak Bernam anjur program perkongsian ilmu Malaysia-Indonesia

Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) melalui Program Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) dengan kerjasama Unit Pengantarabangsaan baru-baru ini menganjurkan Program Batik Beyond Borders: Malaysia – Indonesia bersama Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 9 Bandung, Indonesia

Kemuncak pelaksanaan program tersebut adalah sesi perkongsian ilmu yang menampilkan dua panel jemputan daripada Malaysia dan Indonesia, iaitu Noor Liza Aidie  Sapian, selaku panel jemputan Malaysia, dan Tri Romelah Dini Sutrisno daripada Indonesia.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK)  Dr. Shamsuri Abdullah berkata, menerusi program tersebut pelajar berpeluang memahami keunikan batik Malaysia dan Indonesia.

“ (Dengan itu) , ia dapat  meningkatkan apresiasi terhadap warisan tekstil serta mempelajari pendekatan baharu dalam menghasilkan rekaan yang lebih kreatif, inovatif dan memenuhi kehendak industri semasa,” ujarnya dalam ucaptama beliau secara maya.

Beliau berkata, program berbentuk kerjasama antarabangsa seperti itu merupakan antara usaha penting dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara dan menyokong aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Program turut diserikan dengan ucapan khas oleh Ketua Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 9 Bandung, Indonesia Heri Sudiana dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz, Pekan Sabak dan SMK Bagan Terap yang hadir secara fizikal ke Kolej Komuniti Sabak Bernam bagi mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama panel jemputan.

Selain itu, program ini turut membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada warga pendidik dan pelajar daripada Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), Kolej Vokasional serta orang awam menerusi platform siaran langsung di YouTube Kolej Komuniti Sabak Bernam.

Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Ahmad Arman Nor Anuar, menzahirkan rasa syukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program pengantarabangsaan ini.

Menurut beliau, penganjuran Batik Beyond Borders: Malaysia–Indonesia turut menjadi kesinambungan kepada sesi menandatangani dokumen kerjasama (surat hasrat) bersama Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 9 Bandung yang telah dimeterai pada 8 Mei tahun lalu, semasa lawatan rasmi Kolej Komuniti Sabak Bernam ke SM Kejuruan Negeri 9 Bandung, Indonesia.

Beliau berharap agar program berbentuk perkongsian ilmu dan kerjasama antarabangsa seperti itu dapat diteruskan secara berterusan selari dengan perubahan zaman, perkembangan teknologi serta keperluan semasa industri, khususnya dalam memperkasa bidang fesyen, batik dan industri kreatif.

Inisiatif sebegini juga diyakini mampu membuka lebih banyak ruang kepada pelajar dan warga pendidikan untuk memperoleh pendedahan antarabangsa, bertukar ilmu serta membina jaringan kerjasama yang lebih luas antara Malaysia dan Indonesia.-UTUSAN

 

The post Kolej Komuniti Sabak Bernam anjur program perkongsian ilmu Malaysia-Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved