Program Sentuhan Komuniti Bestari: PNM Angkat Perpustakaan Desa Sebagai Pusat Ilmu

13 Sep 2025 • 8:51 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus melakar peranan penting dalam memperkukuh akses ilmu di luar bandar menerusi Program Sentuhan Komuniti Bestari yang bakal memberi manfaat kepada 506 buah Perpustakaan Desa di seluruh negara.

Program Sentuhan Komuniti Bestari bawa aspirasi besar kerajaan

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami ketika menyempurnakan Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong, Kelantan menjelaskan, program ini membawa aspirasi besar kerajaan untuk mengangkat perpustakaan desa sebagai pusat ilmu dan perpaduan masyarakat.

“Peruntukkan sebanyak RM100,000.00 akan diagihkan kepada semua Perpustakaan Desa PNM yang terlibat di seluruh negara bagi melaksanakan program-program berskala kecil di bawah inisiatif ini,” ujarnya.

image is not available

Program Sentuhan Komuniti Bestari tekankan 3 fokus utama

Difahamkan, program ini menekankan tiga fokus utama iaitu budaya membaca, literasi digital dan pengukuhan perpaduan komuniti dengan pendekatan inklusif melibatkan semua lapisan masyarakat.

image is not available

Menariknya, edisi kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran sulung di Beaufort, Sabah pada tahun 2024.

Dabong diangkat sebagai destinasi ilmu dan warisan melalui pendekatan unik menggunakan kereta api sebagai simbol keterangkuman serta jambatan ilmu antara komuniti bandar dan luar bandar.

image is not available

Dalam ucapannya, YB Senator Puan Saraswathy menegaskan program ini bukan setakat acara tahunan tetapi memberi banyak manfaat kepada komuniti luar bandar.

“Program ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu manifestasi komitmen kerajaan melalui PNM dalam memperkasa komuniti luar bandar dengan ilmu, warisan, dan perpaduan,” jelasnya.

Program anjuran PNM yang bekerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini turut berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran bermula 12 hingga 13 September 2025.

Dengan sokongan padu komuniti, PNM diyakini mampu menjadi peneraju transformasi sosial dan budaya seiring aspirasi Malaysia MADANI.