Projek Forest City berjalan mengikut pelan pembangunan, Country Garden kekal optimistik terhadap prospek pembangunan

2 Aug 2023 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Forest City berjalan mengikut pelan pembangunan, Country Garden kekal optimistik terhadap prospek pembangunan

diyana

02/08/2023 - 15:31

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Forest City komited untuk meneruskan pelan pembangunannya, iaitu projek mega pembangunan bercampur, seperti pelan induk yang diluluskan pada empat pulau buatan dengan keluasan kira-kira 2,833 hektar.

Meskipun pasaran hartanah global agak perlahan akibat pandemik COVID-19, rancangan jangka panjang Forest City untuk membina pembangunan mampan di kawasan berkenaan tidak pernah berubah.

Ketua Pegawai Eksekutif Country Garden Malaysia dan Singapura, Chen Binghong berkata kemudahan bandar dan perniagaan tempatan telah berkembang pesat, justeru Forest City mampu terus menyuntik momentum yang kukuh kepada pembangunan sosio-ekonomi Johor Bahru dan Malaysia keseluruhannya.

image is not available

Beliau berkata, dengan pengumuman Singapura baru-baru ini mengenai kenaikan duti setem untuk pembeli hartanah asing kepada 60% secara tidak langsung meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam pasaran hartanah Malaysia.

"Kami kekal lebih optimistik tentang prospek pembangunan Forest City dan akan terus membina dan mencipta pengalaman hidup bandar yang luar biasa pada kadar yang dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Serantau Forest City, Syarul Izam Sarifudin berkata pihaknya tidak melihat sebarang keperluan untuk mengubah perancangan sedia ada, terutamanya untuk 10 tahun pertama iaitu 2015 hingga 2025.

image is not available
Syarul Izam Sarifudin

“Syarikat masih optimis untuk membangunkan pulau buatan dengan hartanah sebagai perniagaan teras. Bagaimanapun, atas faktor luar jangkaan seperti pandemik COVID-19 dan ekonomi global yang perlahan, ia sememangnya memberi kesan kepada momentum pembangunan namun tetap seperti mana dirancang dalam pelan induk asal,” ujar beliau.

Tambahnya, syarikat juga sentiasa bersedia untuk menyemak dan menilai semula rancangan pembangunan Forest City selepas 2025 sekiranya terdapat keperluan semasa untuk berbuat demikian.

Menyentuh aspek jualan dan pemasaran, pemaju projek mega ini menyasarkan pembeli dari negara Asia seperti Hong Kong, Korea Selatan, Vietnam, Filipina dan juga Indonesia.

Bagi merealisasikan usaha itu, Forest City komited untuk mempergiat promosi di negara-negara berkenaan pada tahun ini, antaranya dengan melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa

Selain itu, Forest City juga mengalu-alukan peniaga tempatan yang berminat untuk menyewa unit kedai memandangkan kawasan tersebut dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang, pentadbiran kerajaan dan sebagainya. - DagangNews.com