Stella peroleh kontrak RM91 juta bagi projek pembangunan bercampur di Pulau Pinang

Business & Finance
13 Jul 2023 • 5:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Stella peroleh kontrak RM91 juta bagi projek pembangunan bercampur di Pulau Pinang

diyana

13/07/2023 - 17:31

KUALA LUMPUR 13 Julai - Stella Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Mewah Kota Sdn Bhd, telah menerima kontrak pembangunan bercampur bernilai RM91.36 juta daripada Warisan Kesumi Enterprise Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata surat anugerah (LOA) yang diterima itu melibatkan kerja struktur, seni bina serta mekanikal dan kerja elektrik bagi tempoh 25 bulan dari tarikh pemilikan tapak dan tarikh siap disasarkan pada 27 Ogos 2025.

Projek pembangunan bercampur fasa dua itu adalah untuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Seberang Perai Tengah.

Ia terdiri daripada satu blok pangsapuri kos sederhana 40 tingkat dengan 422 unit termasuk tempat letak kereta bertingkat, dua unit pencawang TNB, seunit pondok pengawal, seunit dewan serbaguna, seunit pejabat pengurusan, seunit tadika, seunit bilik pengurusan jenazah dan kawasan lapang.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Stella untuk tempoh kewangan yang berkaitan dalam tempoh kontrak.

“Kontrak tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Stella,” kata kumpulan itu.

Saham Stella ditutup pada 77 sen hari ini, susut 7 sen atau 8.3% dengan modal pasarannya bernilai RM51.6 juta. - DagangNews.com