PAC siasat Projek Pan Borneo Sabah, RM10.55 bilion dibelanjakan tetapi hanya 4 pakej siap

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC siasat Projek Pan Borneo Sabah, RM10.55 bilion dibelanjakan tetapi hanya 4 pakej siap Image from: PAC siasat Projek Pan Borneo Sabah, RM10.55 bilion dibelanjakan tetapi hanya 4 pakej siap sarah19/10/2026 - 14:33 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 selepas mendapati RM10.55 bilion atau 94.6% daripada peruntukan yang disalurkan telah dibelanjakan, namun hanya empat daripada 35 pakej kerja disiapkan, sedangkan projek sepanjang 706 kilometer itu sepatutnya siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026, sebanyak 31 pakej kerja bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan, termasuk sembilan projek sakit dan 13 pakej yang mengalami kelewatan, manakala hanya sembilan pakej mendahului jadual.

 

Beliau berkata, projek sepanjang 706 kilometer itu pada asalnya dijadualkan disiapkan dalam tempoh 69 bulan, namun tarikh penyiapannya kini dilanjutkan sehingga 2030 akibat kelemahan perancangan, sementara kos kontrak keseluruhan meningkat daripada RM17.910 bilion kepada RM18.394 bilion.

 

“PAC memandang serius perkara ini, terutama sekali isu penyaluran dana serta pembayaran yang telah dibuat sebanyak 94.6% (RM10.547 bilion daripada RM11.153 bilion peruntukan yang diterima) — iaitu hampir keseluruhan bajet yang diperuntukkan bagi projek tersebut.

 

“Namun, projek ini baru 11.4% siap dan dijangka memerlukan lebih banyak suntikan dana tambahan untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perubahan kerja RM513.99 juta melebihi had kuasa

Mas Ermieyati berkata, antara penemuan audit yang membimbangkan ialah kelulusan 57 Arahan Perubahan Kerja bernilai RM513.99 juta yang melebihi had kuasa dibenarkan tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan, selain pembayaran interim RM163.64 juta kepada kontraktor dan perunding tanpa ikatan kontrak rasmi.

 

Menurutnya, unjuran kos semasa bagi 15 pakej Fasa 1A turut meningkat RM987 juta kepada RM11.323 bilion berbanding kos siling asal RM10.336 bilion, sekali gus mewujudkan risiko kegagalan penyiapan projek sekiranya peruntukan tambahan tidak diluluskan kerajaan.

 

Penemuan lain termasuk dana pendahuluan kerja utiliti RM41.37 juta yang belum dituntut semula, pembinaan 19 pakej yang dimulakan sebelum kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta kehilangan 77,299 fail data pemantauan projek.

 

Beliau berkata, PAC akan memanggil wakil Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah, serta agensi berkaitan bagi menjelaskan kelemahan pengurusan dan pemantauan projek itu. PAC turut mengambil maklum bahawa lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadangkan dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.

 

“Sekiranya prosiding PAC menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved