Projek Kabel Dasar Laut SALAM RM2.7 Bilion Perkukuh Sambungan Digital Sabah Dan Sarawak

LocalTechnology
18 Nov 2026 • 2:55 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Projek Kabel Dasar Laut SALAM RM2.7 Bilion Perkukuh Sambungan Digital Sabah Dan Sarawak

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melantik TM Technology Services Sdn Bhd (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat bagi mereka bentuk, melaksanakan dan mengendalikan sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion.

Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, projek yang dibiayai menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bertujuan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Katanya, pelaksanaan SALAM juga akan memperkukuh penyediaan perkhidmatan digital supaya lebih andal, selain menyediakan laluan alternatif untuk trafik data sekiranya berlaku kerosakan atau gangguan terhadap kabel dasar laut sedia ada.

“Sistem SALAM turut menyediakan laluan alternatif bagi trafik data bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami kerosakan atau gangguan,” katanya.

Menurut MCMC, projek berkenaan mempunyai jajaran kira kira 5,500 kilometer dan akan menggunakan teknologi kabel dasar laut daripada Alcatel Submarine Networks (ASN).

MCMC berkata, keperluan terhadap sistem baharu itu semakin penting berikutan penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang mula beroperasi pada 2017 kini mencapai kira kira 85 peratus.

Katanya, SALAM akan melibatkan pembinaan 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu di beberapa lokasi strategik.

“Dua stesen akan dibangunkan di Semenanjung Malaysia iaitu Cherating dan Sedili, manakala tiga di Sarawak melibatkan Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju).

“Lima lagi stesen akan dibangunkan di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Menurutnya, kapasiti tambahan yang disediakan menerusi sistem itu akan menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G, selain memenuhi keperluan perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data.

Jelasnya, pembangunan berkenaan turut menyediakan asas infrastruktur yang lebih kukuh bagi memperluas peluang ekonomi digital, khususnya kepada masyarakat dan sektor perniagaan di Sabah serta Sarawak.

Selain itu, MCMC berkata empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital Kerajaan dan keselamatan siber.

Sementara itu, menurut MCMC, pelaksanaan projek berkenaan dijadualkan bermula pada pertengahan Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.

Baca juga:

MCMC berkata, pelaksanaan SALAM mencerminkan komitmen suruhanjaya itu untuk memperkukuh infrastruktur digital negara supaya lebih banyak komuniti dan sektor perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved