Projek lebuh raya WISE diteruskan, terima terbitan sukuk RM5.55 bilion

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Projek lebuh raya WISE diteruskan, terima terbitan sukuk RM5.55 bilion
Saarani (kanan) menyatuni orang ramai yang hadir ke Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Isnin.

KUALA KANGSAR - Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) memasuki fasa baharu selepas memperoleh terbitan sukuk berjumlah RM5.55 bilion, membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan secara berperingkat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada syarikat konsesi, projek lebuh raya berkenaan kini berada pada peringkat akhir mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan utama.

Menurutnya, perkara itu sekali gus menandakan isu pembiayaan yang sebelum ini menjadi antara kekangan utama projek berkenaan telah berjaya diselesaikan.

"Dulu kita kata projek ini sangkut kerana tidak ada pendana, sekarang isu telah selesai. Mereka telah mendapat sukuk berjumlah RM5.55 bilion. Itu laporan yang saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Lebuhraya WISE sepanjang kira-kira 60 kilometer itu bakal dibangunkan dengan tiga lorong dua hala, bermula dari Gopeng melalui beberapa kawasan termasuk Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya ke Kuala Kangsar.

Projek berkenaan dijangka menjadi laluan alternatif utama pengguna jalan raya khususnya bagi mengurangkan kesesakan di Terowong Menora.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, dengan penyelesaian isu pembiayaan tersebut, projek menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berkenaan kini boleh diteruskan ke fasa seterusnya melibatkan kerja-kerja lapangan.

"Mereka beri jaminan, gerak kerja seterusnya adalah kerja-kerja berkaitan urusan tanah. Bermakna selepas ini, fasa seterusnya ialah pembinaan," katanya.

Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan lanjutan tempoh enam bulan kepada syarikat konsesi selepas tempoh kelulusan prinsipalnya tamat pada September 2026.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, syarikat konsesi perlu melengkapkan rundingan dengan institusi kewangan bagi memastikan dana mencukupi sebelum projek dilaksanakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved