
PETALING JAYA: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjaya menerbitkan Sukuk Biru bernilai RM720 juta yang disifatkan sebagai terbitan sukuk biru terbesar di dunia bagi membiayai projek infrastruktur air negara.
Terbitan menerusi Pengurusan Air SPV Berhad (PASB) itu dilaksanakan di bawah Program Kertas Komersial Islam sedia ada bernilai RM2 bilion dan berjaya ditetapkan harganya pada 29 Julai lalu.
PAAB berkata, terbitan tersebut mendapat permintaan kukuh daripada pelabur institusi apabila menerima jumlah pesanan RM770 juta.
Kataya, jumlah itu bersamaan lebihan langganan sebanyak 1.54 kali berbanding saiz terbitan asal RM500 juta sebelum ia ditingkatkan kepada RM720 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar berkata, sambutan tersebut mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kedudukan kredit PAAB, pengurusan kewangan berhemat serta strategi pembiayaan mampan jangka panjang syarikat itu.
“Terbitan Sukuk Biru ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kekuatan kredit PAAB, pengurusan kewangan berhemat dan strategi pembiayaan mampan jangka panjang.
“PAAB akan terus menggerakkan modal mampan yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam mampan bagi meningkatkan jaminan bekalan air untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PAAB, terbitan itu merupakan yang pertama di bawah Kerangka Kewangan Islam Mampan (SIFF) syarikat berkenaan yang turut menjadi kerangka kewangan Islam mampan pertama di Malaysia dengan menggabungkan ciri pembiayaan biru.
“Kerangka itu dibangunkan bersama Maybank Investment Bank Berhad selaku Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal dan menerima Penarafan Kewangan Mampan Platinum, iaitu penarafan tertinggi diberikan RAM Sustainability.
“Hasil terbitan yang akan diterima PAAB pada 3 Ogos ini akan digunakan untuk membiayai portfolio projek yang layak di bawah kategori pembiayaan biru,” katanya.
Katanya, antara projek berkenaan ialah Loji Rawatan Air Jernih di Melaka, Loji Rawatan Air Tok Bali di Kelantan, projek pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) di Negeri Sembilan, Loji Rawatan Air Kampung Barisan dan saluran paip agihan air Seremban Barat di Negeri Sembilan.
“Ia turut merangkumi Loji Rawatan Air Sungai Muda di Pulau Pinang, Loji Rawatan Air Sungai Karangan di Kedah serta Skim Bekalan Air Sultan Iskandar di Johor.
“Projek terbabit merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu, kolam imbangan, saluran paip baharu dan pengurangan NRW serta infrastruktur berkaitan bagi meningkatkan akses kepada bekalan air selamat dan boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, skala penerbitan itu menetapkan penanda aras baharu dalam pembiayaan infrastruktur air mampan.
“Lebihan langganan daripada pelabur mengukuhkan lagi kedudukan PAAB sebagai peneraju dalam penyelesaian pembiayaan mampan serta mencerminkan keyakinan terhadap prospek dan tadbir urus kemampanan syarikat,” katanya. – UTUSAN
The post PAAB terbit Sukuk Biru RM720 juta terbesar dunia appeared first on Utusan Malaysia.






