
KUALA KANGSAR: Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar kini boleh diteruskan selepas isu pembiayaan projek berkenaan diselesaikan menerusi penerbitan sukuk bernilai RM5.55 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan terbaharu itu diterima daripada pihak pengurusan WISE Rabu lalu dengan kerja berkaitan pengambilan tanah pula bermula pada Khamis.
“WISE ini sebenarnya bukanlah projek kerajaan negeri secara langsung, sebaliknya ia adalah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Berdasarkan laporan terbaharu yang saya terima, mereka sudah berada di peringkat akhir untuk mendapatkan pembiayaan dan sudah menerbitkan sukuk sebanyak RM5.55 bilion.
“Selepas ini, mereka akan memulakan kerja berkaitan pengambilan tanah,” katanya ketika ditemui pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-6 2026, di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Menurut Saarani, sebelum ini perkembangan projek berkenaan sedikit terganggu berikutan isu mendapatkan pembiayaan, namun perkara itu kini telah diselesaikan.
“Dulu projek ini sangkut sebab tidak dapat pembiaya, sekarang pembiayaan sudah selesai dan sukuk juga sudah dikeluarkan.
“Setakat ini, itu laporan yang saya terima, jadi, saya rasa projek ini boleh diteruskan,” katanya.
Menerusi laporan media pada Disember 2023, kerajaan negeri Perak menerima cadangan berhubung pembinaan jalan pintas ke utara tanpa melalui Terowong Menora sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.
Laluan pintas itu akan bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar seterusnya Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, projek yang dicadangkan syarikat pemaju kepada kerajaan negeri pada Februari 2021 itu tertangguh pelaksanaannya ekoran beberapa faktor termasuk pembubaran Parlimen. – UTUSAN
The post Sukuk RM5.55 bilion biayai pembinaan WISE appeared first on Utusan Malaysia.



