Projek Lingkaran Tengah Utama di Pantai Timur capai kemajuan 75.3% sehingga September 2025 - Kementerian Kerja Raya

08/10/2025 - 16:06
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Okt – Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 75.3% sehingga September 2025.
Kemajuan projek itu adalah hampir mengikut jadual yang ditetapkan iaitu 75.96%.
Projek berskala besar ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan dengan kos keseluruhan berjumlah RM7.7 bilion dan dilaksanakan secara berfasa sejak Rancangan Malaysia Ke-9.
Kementerian Kerja Raya memaklumkan, pembinaan LTU melibatkan enam pakej utama yang merangkumi 26 seksyen dengan panjang keseluruhan hampir 300 kilometer, merentasi jajaran di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Kementerian berkata, di Kelantan, projek itu merangkumi tiga pakej utama dengan 11 seksyen dan panjang jajaran 130 kilometer dan sehingga September 2025, kemajuan di negeri itu telah mencapai 48.36% berbanding jadual 49.62%.
“Daripada 11 seksyen tersebut, satu sahaja telah siap dan dibuka kepada pengguna iaitu Seksyen 3E1 (Mentara – Merapoh) pada 26 Julai 2020.
“Komponen terakhir LTU di Kelantan, iaitu Seksyen 1B (Kampung Sungai Peria – Kampung Laloh) di bawah Pakej 1 (Kuala Krai – Jambatan Sungai Lakit) telah memulakan kerja pembinaan pada 24 Februari 2025.
“Keseluruhan projek LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada 23 Februari 2028, sekali gus melengkapkan jaringan pengangkutan strategik yang lebih lancar antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Kenyataan itu adalah bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuki Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu perkembangan terkini projek tersebut.
Dalam pada itu, KKR berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada perancangan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang akan melengkapkan rangkaian LPT1 dan LPT2.
“Kajian awalan telah dilaksanakan oleh kementerian bagi menilai aspek trafik, sosial, ekonomi, alam sekitar dan kejuruteraan untuk mendapatkan laluan terbaik.
“Jajaran LPT3 yang dicadangkan bermula di Kampung Gemuruh, Terengganu dan berakhir di Tunjong, Kelantan dengan panjang keseluruhan 122 kilometer.
“LPT3 dijangka dapat meningkatkan sistem perhubungan dan logistik serta menyokong pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya.
Projek ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta (PPP) menggunakan mekanisme bidaan bersaing (Request For Proposal-RFP).
Kementerian Kerja Raya telah mengemukakan Penyataan Keperluan Projek kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, untuk penyediaan dokumen RFP untuk diangkat kepada pertimbangan Jemaah Menteri. - DagangNews.com
standard



