Kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini 84.2%, dijangka siap Mac 2027 – Kementerian Kerja Raya

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2025 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini 84.2%, dijangka siap Mac 2027 – Kementerian Kerja Raya

image is not available

08/10/2025 - 17:54

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A yang merangkumi 16 pakej kerja sepanjang 318 kilometer kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 84.2 peratus.

Kementerian Kerja Raya memaklumkan, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.

“Empat pakej utama Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna termasuk laluan WP05 Donggongon–Papar (29 Ogos 2022), WP27 Kg. Lot M–Mile 32 (18 November 2022), WP15 Tawau–Semporna (10 Ogos 2023) dan WP21 Lahad Datu Bypass (30 Oktober 2023).

“Baki 12 pakej sedang dalam pembinaan dan dijadualkan siap secara berperingkat pada suku pertama 2027,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Ia menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu perincian projek pembinaan lebuh raya itu serta kenaikan kos terkini berbanding peruntukan asal.

Tambah kementerian itu, fasa 1B yang melibatkan 19 pakej kerja pula mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 8.58 peratus, dengan sasaran siap pada Oktober 2028.

“Projek ini merangkumi laluan dari Tawau ke Semporna dan beberapa jajaran strategik lain bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sabah.

“Kos keseluruhan projek ini di Sabah Fasa 1 dianggarkan sebanyak RM12.86 bilion pada peringkat awal 2016, tidak termasuk kos pengambilan tanah.

“Sehingga kini, RM2.53 bilion telah dibelanjakan untuk pengambilan tanah, dengan RM1.32 bilion untuk Fasa 1A dan RM1.21 bilion untuk Fasa 1B,” kata KKR.

Projek ini pada awalnya dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) dengan melantik Borneo Highway PDP Sdn Bhd, namun perjanjian PDP ditamatkan pada 21 September 2019 atas kepentingan nasional.

Tidak lama selepas itu, KKR mengambil alih pelaksanaan secara konvensional manakala JKR Sabah dilantik sebagai Pegawai Penguasa untuk memantau projek.

Bagi 11 pakej yang terhenti akibat penamatan PDP, kerja pelaksanaan diteruskan semula dengan empat pakej tambahan, menggunakan anggaran peruntukan baharu sebanyak RM10.336 bilion melalui peruntukan pembangunan (Development Expenditure – DE).

Kerajaan juga memperkenalkan sistem pemantauan berstruktur bagi memastikan setiap pakej dijalankan mengikut jadual.

Langkah ini termasuk tindakan terhadap kontraktor yang bermasalah, daripada surat peringatan hingga kemungkinan penamatan kontrak bagi kes pelanggaran serius.

Projek Lebuhraya Pan Borneo adalah inisiatif strategik kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah dan Sarawak, menjadikan perjalanan lebih selamat, lancar dan menyokong pembangunan sosio ekonomi setempat.

Selain meningkatkan kesalinghubungan, projek ini dijangka memberi impak besar kepada sektor perniagaan, pelancongan dan logistik di Sabah dan Sarawak.

Dengan sasaran siap penuh pada Mac 2027 untuk Fasa 1A dan Oktober 2028 untuk Fasa 1B, kerajaan komited memastikan projek ini memberi manfaat maksimum kepada rakyat Sabah, sejajar dengan matlamat pembangunan negara di bawah Rangka Kerja Madani.- DagangNews.com

featured standard