
PENAMPANG: Perjalanan ke Kampung Buayan di pedalaman Penampang yang dahulunya mengambil masa hingga tujuh jam walaupun terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Donggongon kini disingkatkan kepada 90 minit hasil pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Luar Bandar (JALB).
Tinjauan Bernama mendapati meskipun projek JALB Kampung Buayan dan Kampung Terian masih dalam pembinaan, kemudahan jalan yang semakin baik itu sudah mula mengubah kehidupan kira-kira 3,000 penduduk di tujuh perkampungan pedalaman berkenaan.
Pembangunan infrastruktur tersebut memberi manfaat langsung kepada penduduk Kampung Tiku, Kampung Timpayasa, Kampung Terian, Kampung Longkogungan, Kampung Buayan, Kampung Timpangoh Laut dan Kampung Mahansung.
Petani dari Kampung Longkogungan, Liew Lodukin, 62, berkata pembukaan laluan itu membolehkan penduduk memasarkan hasil tanaman di pekan Donggongon tanpa perlu lagi berjalan kaki selama berjam-jam sambil menggalas muatan.
“Syukur sangat-sangat kerana dengan adanya jalan raya ini, kami tidak lagi perlu berjalan kaki berjam-jam seperti dahulu, malah sekurang-kurangnya kenderaan pacuan empat roda sudah boleh masuk ke kampung,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Buayan.
Liew berkata sebelum adanya laluan berkenaan, penduduk kampung terpaksa berjalan kaki hampir 10 kilometer selama lima hingga enam jam semata-mata untuk sampai ke jalan utama sebelum menaiki kenderaan ke pekan Donggongon.
“Kemudahan ini sangat membantu kami khususnya golongan petani untuk membawa hasil tanaman ke bandar bagi dijual, sekali gus membuka peluang menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata walaupun jalan batu kerikil ini hanya sesuai dilalui kenderaan pacuan empat roda, kemudahan itu tetap banyak membantu penduduk membawa keluar hasil pertanian yang sebelum ini sukar dipasarkan.
Sementara itu, penduduk Kampung Tiku, Alfredo Michael Gundidi Talah, 42, lega kerana akses baharu itu membolehkan warga pedalaman yang bekerja di bandar pulang ke kampung dengan lebih kerap termasuk pada setiap hujung minggu.
Beliau berkata keadaan jalan sebelum ini yang merupakan laluan bekas lori balak dengan lubang berlumpur sedalam paras lutut amat menyukarkan pergerakan kenderaan dan mengehadkan hubungan dengan ahli keluarga di kampung.
“Keadaan jalan yang teruk sebelum ini menyukarkan kami keluar masuk kampung, tetapi sekarang kenderaan kecil pun sudah boleh melaluinya, malah saya sendiri boleh berulang-alik dari kampung ke tempat kerja di bandar setiap hari,” katanya.
Alfredo berkata kemudahan jalan itu secara tidak langsung meringankan beban kewangan penduduk kerana mereka tidak perlu lagi menyewa bilik atau rumah di bandar yang mencecah RM750 sebulan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Kampung Longkogungan, Wilson Abel, 39, berharap pembangunan kemudahan asas di kawasan pedalaman tersebut turut merangkumi penyediaan sebuah klinik kesihatan.
Beliau berkata ketiadaan fasiliti perubatan berhampiran sebelum ini memaksa penduduk yang mengalami masalah kesihatan kritikal bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan helikopter kecemasan bagi mendapatkan rawatan di hospital.
Katanya, walaupun jaringan jalan raya kini bertambah baik, jarak yang masih jauh dari hospital daerah tetap menjadi kekangan besar bagi pesakit di pedalaman yang memerlukan rawatan segera.
Kedua-dua projek JALB Kampung Buayan dan Kampung Terian yang dimulakan pada 2024 dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan keseluruhan RM173.263 juta di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Projek menaik taraf JALB Kampung Buayan sejauh 5.6 kilometer dan pembinaan dua buah jambatan yang membabitkan kos RM73.868 juta telah mencatat kemajuan fizikal sebanyak 76.64 peratus serta dijadual siap pada Ogos 2027.
Projek JALB Kampung Terian bernilai RM99.395 juta yang meliputi kerja naik taraf jalan sejauh 6.7 kilometer pula kini mencapai tahap kemajuan 57.83 peratus dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang Mei 2028.






