Projek naik taraf Persiaran Kewajipan bermula, Sunway Property belanja lebih RM100 juta tangani kesesakan

20 May 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek naik taraf Persiaran Kewajipan bermula, Sunway Property belanja lebih RM100 juta tangani kesesakan Image from: Projek naik taraf Persiaran Kewajipan bermula, Sunway Property belanja lebih RM100 juta tangani kesesakan liza20/05/2026 - 11:50 Ilustrasi artis gambaran Persiaran Kewajipan apabila siap kelak - Gambar Sunway Property Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Sunway Property memulakan kerja-kerja naik taraf aliran trafik di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dengan anggaran pelaburan melebihi RM100 juta bagi memperbaiki kesesakan di laluan utama sekitar kawasan berkenaan.

 

Projek infrastruktur itu dijangka siap menjelang hujung tahun 2026 dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan gangguan minimum kepada pengguna jalan raya harian.

 

Menurut kenyataan syarikat, kerja-kerja naik taraf ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai usaha memperkukuh rangkaian perhubungan antara Bandar Sunway, Subang Jaya dan koridor USJ.

 

Naik taraf tersebut turut melibatkan pemasangan tiga lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di sekitar bulatan Persiaran Kewajipan bagi mengawal aliran masuk kenderaan dan mengoptimumkan pergerakan trafik.

 

Sistem ini direka untuk mengawal kemasukan kenderaan ke persimpangan serta meningkatkan kecekapan aliran trafik terutama pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.

 

Selain itu, kerja-kerja turut melibatkan penstrukturan semula laluan kenderaan termasuk pengalihan trafik dari arah SS15 ke Bandar Sunway melalui laluan pusingan U selepas Sri Kuala Lumpur School.

 

Sunway Property berkata langkah ini diambil bagi mengurangkan konflik aliran trafik di bulatan yang sering mengalami kesesakan terutama pada waktu pagi dan petang.

 

“Syarikat turut melakukan penambahbaikan terhadap dua lokasi pusingan U sedia ada bagi meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan di sekitar kawasan terbabit.

 

“Kerja-kerja pelebaran lorong juga akan dilaksanakan di beberapa bahagian kritikal bagi mengurangkan kesesakan di lokasi tertentu khususnya bagi kenderaan dari arah Bandar Sunway menuju USJ Taipan,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata projek ini mencerminkan kepentingan koridor Persiaran Kewajipan kepada komuniti sekitar Subang Jaya dan Bandar Sunway.

 

Beliau berkata reka bentuk dan pelaksanaan projek itu telah dirancang bersama pakar trafik serta diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keberkesanan jangka panjang.

 

Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi AI dalam sistem lampu isyarat pintar ini dijangka mampu mengoptimumkan pergerakan trafik dengan lebih efisien serta mengurangkan kesesakan secara signifikan.

 

Dengan siapnya projek ini kelak, ia dijangka memberi impak positif kepada mobiliti harian penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui sistem pengangkutan yang lebih efisien.- DagangNews.com

Terkini standard