
PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang pesat membangun.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek yang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur jalan raya di Sabah bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat.
Katanya, koridor berkenaan kini mengalami pertumbuhan pesat susulan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, institusi pendidikan dan produk pelancongan, sekali gus meningkatkan jumlah trafik, terutama pada waktu puncak.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, Selasa.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Kerja Raya (Sabah), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali serta barisan wakil rakyat setempat.
Hajiji berkata projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala bagi memperbaiki aliran trafik di laluan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Papar.
“Selain pelebaran jalan, projek itu turut merangkumi pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas dan perlindungan motosikal bagi meningkatkan keselamatan murid, pejalan kaki serta pengguna jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi utiliti berkaitan supaya bertindak segera menyelesaikan sebarang isu teknikal agar pelaksanaan projek tidak terganggu oleh kerenah birokrasi.
Katanya, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, pelaburan dan sektor pelancongan.
Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di Papar sejajar dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, Papar kini berkembang pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, selain berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya.
Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Kedua serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di sepanjang Tebing Sungai Intake Kogopon, termasuk kerja-kerja perlindungan tebing sungai yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan rakyat di daerah itu.






