Projek Pan Borneo: Siasatan PAC mesti termasuk penamatan model

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 5:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Projek Pan Borneo: Siasatan PAC  mesti termasuk penamatan model

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa memperluaskan skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan turut meneliti asas dan implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata penelitian itu penting bagi mengenal pasti sama ada keputusan menamatkan model berkenaan menjadi antara faktor kelewatan pelaksanaan projek terbabit.

Ahli Parlimen Papar itu berkata gesaan itu dibuat susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 berkaitan projek Pan Borneo yang mencetuskan polemik dan tuduh-menuduh pelbagai pihak.

Katanya, GRS mengalu-alukan keputusan PAC untuk menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek itu namun skopnya perlu diperluaskan supaya turut merangkumi empat aspek utama berkaitan penamatan model PDP.

“Pertama, dalam LKAN Bilangan 2 Tahun 2026 itu tidak ada kejelasan berhubung isu penamatan PDP sedangkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022 dan 19 Oktober 2026 menyebut pembatalan model berkenaan antara faktor kelewatan projek Pan Borneo Fasa 1A.

“Ini bukan cerita politik sebaliknya jawapan rasmi kerajaan di Parlimen yang perlu diberikan perhatian,” katanya di sidang media sempena Perasmian Penutupan Program IP SPARK, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, PAC dilaporkan akan menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah khususnya Fasa 1A susulan penemuan dalam LKAN Bilangan 2 Tahun 2026 yang membangkitkan isu kelewatan dan pelaksanaan projek berkenaan.

Siasatan itu dijangka meneliti pelbagai aspek berkaitan kemajuan projek, termasuk faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan pakej terbabit.

LKAN Tahun 2026 Siri 2 mendedahkan hanya empat daripada 35 pakej kerja projek tersebut atau 11.4 peratus telah siap setakat 31 Mac manakala baki 31 pakej yang bernilai RM16.3 bilion masih dalam peringkat pelaksanaan.

Laporan itu menyebutkan ia berlaku walaupun pengurusan projek pembinaan lebuh raya tersebut telah dipindahkan daripada PDP kepada KKR pada 22 September 2019 dan daripada 31 projek dalam pelaksanaan sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual.

Rumusan laporan itu turut menyebut, antara isu pengurusan projek yang dikenalpasti sebagai ketidakteraturan serius adalah kelulusan Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta.

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bermula pada 11 April 2016 meliputi jarak keseluruhan 706km dari Sindumin ke Kota Kinabalu dan Kudat; Ranau ke Batu 32 Sandakan; dan Batu 32 Sandakan ke Tawau.

Armizan berkata aspek kedua yang perlu disiasat ialah asas keputusan kerajaan Persekutuan pada 2019 untuk menamatkan model PDP termasuk sama ada kajian dan penilaian menyeluruh dilakukan sebelum keputusan itu dibuat atau pun turut mendapat syor kerajaan negeri ketika itu.

Katanya, rakyat berhak mengetahui sebab sebenar keputusan berkenaan diambil serta pertimbangan yang mendorong kerajaan ketika itu melaksanakan perubahan model pengurusan projek.

Aspek ketiga pula, katanya, membabitkan ketidaktentuan status PDP dan kontraktor selepas pertukaran kerajaan pada Mei 2018 yang didakwa menyebabkan kerja di tapak terganggu lebih setahun.

“Pada masa sama, kelewatan proses pelantikan semula kontraktor melalui kaedah konvensional turut memberi kesan kepada kos pelaksanaan susulan peningkatan harga bahan binaan dan faktor inflasi sebelum projek itu berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Aspek keempat adalah proses pelantikan kontraktor, khususnya pakej yang tidak dilantik semula serentak selepas penamatan model PDP sehingga ada yang hanya dilantik pada 2021,” katanya.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menyarankan PAC memanggil kontraktor yang terkesan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai masalah dan tekanan yang dihadapi mereka ketika tempoh peralihan model pelaksanaan berkenaan.

“Jangan hanya memanggil agensi kerajaan sebaliknya kontraktor yang terlibat juga perlu diberikan ruang untuk menjelaskan apa yang berlaku, termasuk gangguan kerja, proses mendapatkan bahan dan peningkatan kos selepas pelantikan semula,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata Ahli Parlimen GRS yang mempunyai tujuh wakil di Parlimen akan menyerahkan memorandum rasmi kepada PAC minggu depan bagi mengemukakan cadangan bagi perluasan skop siasatan berkenaan.

Katanya, memorandum itu bertujuan membantu PAC menetapkan parameter siasatan yang lebih jelas supaya semua persoalan berbangkit dapat diteliti secara menyeluruh.

“Siasatan PAC bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya memastikan keputusan dasar kerajaan tidak dipengaruhi kepentingan politik sehingga menjejaskan kelancaran projek infrastruktur yang diperlukan rakyat.

“Kita tidak mahu apabila berlaku pertukaran kerajaan, perkara pertama dilakukan ialah mencari kesalahan, membatalkan atau menangguhkan projek sehingga akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kesannya.

“Ini satu pengajaran penting supaya kepentingan rakyat dan kesinambungan pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Mengulas perkembangan projek, Armizan berkata prestasi Fasa 1A dan Fasa 1B perlu dilihat secara berasingan kerana kedua-duanya mempunyai latar belakang pelaksanaan dan tahap kemajuan berbeza.

Beliau berkata kemajuan Fasa 1A kini hampir 90 peratus manakala Fasa 1B mencatat kemajuan melebihi 30 peratus dan pelaksanaannya dilihat berjalan lebih lancar.

“Penyelarasan bulanan antara KKR Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, membantu menyelesaikan isu pelaksanaan termasuk berkaitan tanah serta pemindahan utiliti dalam projek ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ura-ura Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Tawau yang akan ditutup, Armizan berkata beliau berpegang kepada komitmen Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat pada 11 November lalu bahawa proses rasionalisasi kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak akan membabitkan penutupan operasi.

Menurutnya, kajian rasionalisasi itu membabitkan semua kampus UiTM dan bukan hanya kampus Tawau termasuk menilai jumlah pelajar, kemudahan serta kursus yang ditawarkan.

Bagaimanapun beliau berpandangan, operasi UiTM Tawau perlu dipertahankan kerana institusi itu mempunyai tanggungjawab sosial menyediakan akses pendidikan tinggi kepada penduduk di Pantai Timur Sabah.

Katanya, kos yang perlu ditanggung pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian di Semenanjung atau Kota Kinabalu juga perlu diambil kira dalam menentukan keperluan mengekalkan kampus berkenaan.

“Rasionalisasi perlu dilaksanakan tetapi bukan sehingga menyebabkan penutupan operasi UiTM Tawau. Pelbagai kaedah boleh diteliti termasuk memperluaskan kursus yang ditawarkan dan meningkatkan kemasukan pelajar.

“Saya bersama Ahli Parlimen GRS akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi serta berbincang dengan kerajaan negeri bagi mencari pendekatan terbaik untuk memastikan kampus itu terus beroperasi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved