sarah29/10/2026 - 09:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar pampasan penyelesaian sebanyak RM155 juta secara sekali gus kepada Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHPSB) susulan penamatan kontrak syarikat itu sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2019.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, pembayaran tersebut merupakan penyelesaian terhadap tuntutan yang dipertikaikan syarikat berkenaan selepas kerajaan menamatkan perjanjian PDP atas kepentingan negara (Termination on National Interest).
Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh pelaksanaan projek menggunakan model PDP, sebanyak RM700.99 juta telah dibayar kepada BHPSB mengikut peruntukan kontrak, merangkumi yuran pengurusan dan bayaran balik perbelanjaan projek.
Daripada jumlah tersebut, RM66.917 juta termasuk cukai merupakan yuran pengurusan yang dikira pada kadar 5.5% daripada nilai bayaran kemajuan kepada kontraktor pakej kerja, manakala RM634.073 juta lagi melibatkan imbuhan bayaran balik termasuk cukai.
Bayaran perunding RM448.36 juta, kos operasi RM146.39 juta
KKR menjelaskan, imbuhan bayaran balik RM634.073 juta itu merangkumi bayaran kepada perunding sebanyak RM448.360 juta, perbelanjaan operasi RM146.389 juta, perbelanjaan modal RM16.638 juta serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM22.686 juta.
Perincian itu diberikan menerusi jawapan lisan Parlimen kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang meminta penjelasan mengenai pecahan yuran pengurusan 5.5%, kos imbuhan bayaran balik dan bayaran lain kepada syarikat PDP berkenaan.
Sebagai latar belakang, BHPSB dilantik melalui perjanjian yang dimeterai pada 11 April 2016 antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan syarikat itu bagi menguruskan pelaksanaan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang kira-kira 706 kilometer, melibatkan 35 pakej kerja.
Bagaimanapun, Jemaah Menteri pada 19 Disember 2018 secara prinsip bersetuju menamatkan perjanjian tersebut sebelum notis penamatan dikeluarkan pada 22 April 2019, dengan penamatan berkuat kuasa pada 22 September tahun sama.
KKR menegaskan pihaknya bersama Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan mengikut perancangan bagi meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan aktiviti ekonomi dan membawa manfaat kepada rakyat negeri itu.- DagangNews.com






