
Kota Kinabalu: DAP Sabah mengkritik Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking kerana didakwa menceritakan secara terpilih mengenai pembatalan model rakan pelaksana projek (PDP) bagi Lebuhraya Pan Borneo Sabah sambil mengetepikan peranan presiden partinya sendiri dalam mencadangkan langkah itu.
Setiausaha Publisitinya Thien Ee Hang dalam kenyataan pada Sabtu berkata bekas menteri Persekutuan itu hanya menumpukan perhatian kepada pengumuman pembatalan oleh Lim Guan Eng tetapi seolah-olah sengaja mengabaikan penglibatan Datuk Seri Shafie Apdal dalam memulakan cadangan berkenaan.
Beliau menuduh Darell mengelirukan orang ramai dan mengalihkan tanggungjawab politik kepada parti lawan.
“Ironinya, Shafie sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 19 Oktober bahawa ketika menjadi Ketua Menteri Sabah pada 2019, beliau secara peribadi mengesyorkan supaya model PDP dimansuhkan kepada Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng dan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pengakuannya direkodkan dalam Hansard rasmi Parlimen. Darell tidak boleh berpura-pura seolah-olah perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya ketika mengulas kenyataan Darell semasa kongres wanita dan pemuda Warisan.
Thien berkata sebagai timbalan presiden Warisan dan bekas menteri Kabinet Persekutuan, Darell sepatutnya mengetahui keadaan sebenar yang membawa kepada keputusan berkenaan.
Katanya, dengan hanya menumpukan perhatian kepada Lim, Darell mewujudkan tanggapan mengelirukan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan tidak memainkan sebarang peranan dalam perkara itu.
Beliau mengakui bahawa Lim, sebagai Menteri Kewangan yang mengumumkan pembatalan itu dan kerajaan Persekutuan memikul tanggungjawab pentadbiran terhadap keputusan berkenaan.
“Bagaimanapun, hakikat bahawa Lim mengumumkan keputusan itu tidak menghapuskan peranan Shafie yang secara aktif mengesyorkannya.
“Mengapa Darell menghalakan semua kritikannya kepada Lim tetapi enggan mempersoalkan presiden partinya sendiri mengenai cadangan yang dikemukakannya?” katanya.
Thien berkata laporan berita pada ketika itu turut merekodkan penglibatan kerajaan negeri dalam perkara berkenaan.
Pada 21 Mac 2019, The Edge melaporkan bahawa Shafie mengesahkan kerajaan Sabah selepas mengadakan perbincangan terperinci dengan Lim dan Menteri Kerja Raya ketika itu, Baru Bian mencapai persetujuan untuk menghentikan model PDP swasta.
Pada 25 April tahun sama, Shafie secara terbuka menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan itu dan mempersoalkan aturan yang membolehkan sebuah syarikat swasta menguruskan dana projek berjumlah RM16 bilion.
“Laporan-laporan ini boleh diakses oleh orang ramai. Bersama pengakuan Shafie di Parlimen, semuanya menunjukkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan mengetahui keputusan itu, terlibat secara aktif dalam perbincangan dan menyokong hala tuju dasar berkenaan,” katanya.
Thien turut memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2024, yang memetik Menteri Kerja Raya Sabah ketika itu Datuk Shahelmey Yahya, sebagai berkata perubahan model pelaksanaan lebuh raya itu susulan keputusan kerajaan negeri untuk mengesyorkan penamatan model PDP dan perjanjian berkaitan.
Katanya, pengakuan Shafie selepas itu di Parlimen turut mengukuhkan penjelasan berkenaan.
Thien seterusnya mendedahkan bahawa Phoong Jin Zhe, yang pernah berkhidmat dalam Kabinet negeri di bawah pentadbiran pimpinan Warisan, pernah memberitahunya secara peribadi bahawa Shafie berulang kali menyatakan pendiriannya untuk memansuhkan model PDP ketika mesyuarat Kabinet negeri.
Menurut Thien, Phoong sendiri mendengar Shafie menyokong langkah itu ketika menghadiri mesyuarat berkenaan sebagai anggota Kabinet.
“Ini bermakna pendirian Shafie bukan hanya terhad kepada perbincangan dengan pemimpin Persekutuan. Beliau turut membangkitkan perkara itu berulang kali dalam Kabinet Sabah.
“Pengakuannya sendiri di Parlimen bahawa beliau mengesyorkan pembatalan itu kepada kerajaan Persekutuan mengukuhkan lagi peranannya dalam proses membuat keputusan berkenaan,” katanya.
Thien berkata Warisan sepatutnya berani menjelaskan dan mempertahankan pendirian yang diambilnya ketika itu.
“Jika anda menyokong sesuatu keputusan, anda mesti bersedia bertanggungjawab terhadapnya. Shafie secara aktif mencadangkan pemansuhan model PDP dan mengemukakan alasan yang dianggapnya kukuh untuk berbuat demikian.
“Warisan kini sepatutnya menjelaskan pendirian itu secara terbuka. Ia tidak boleh melepaskan diri daripada perkara ini dan menuding jari kepada parti serta pemimpin lain apabila masalah timbul dan orang ramai mula mempersoalkan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa Warisan yang sebelum ini begitu yakin mengesyorkan dan mempertahankan perubahan itu kini enggan mengakui penglibatannya.
“Jika sesebuah parti tidak mampu berterus terang mengenai rekod dasarnya sendiri sebaliknya bertindak mengalihkan kesalahan dan mencari kambing hitam apabila timbul kontroversi, atas dasar apa rakyat patut mempercayainya untuk mentadbir semula?“Rakyat Sabah berhak mempersoalkan sama ada parti sedemikian mempunyai akauntabiliti dan ketegasan yang diperlukan untuk memimpin negeri ini.”


