Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak siap 2029 

20 Aug 2026 • 1:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak siap 2029 

GOMBAK: Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah yang bernilai RM2.1 billion itu dijangka siap lebih awal iaitu pada 2029.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut melibatkan jajaran sepanjang 45.3 kilometer termasuk pembinaan terowong ketiga di Genting Sempah sepanjang 999 meter.

Menurutnya, kerja fizikal sudah bermula pada 9 Mac lalu selaras dengan tarikh mula pembinaan (CCD) yang diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Dalam kontrak kita bersama syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan AFA, ia dijangka siap dalam empat tahun iaitu 2030, tapi sebentar tadi kita diberi jaminan oleh AFA boleh siap pada 2029.

“Itu sangat membanggakan kerana ia ‘ahead of time’ (lebih awal daripada jadual). Kita tahu betapa pentingnya projek ini untuk kita menangani masalah kesesakan dan juga keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya antara Lembah Klang ke Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Projek Pelebaran Lebuhraya KLK di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi Kumpulan AFA, Tan Sri Azmil Khalid.

Alexander berkata, projek pelebaran itu melibatkan laluan dari Gombak ke Genting Sempah yang akan dinaik taraf daripada tiga lorong sedia ada kepada empat lorong.

Beliau berkata, jajaran dari Genting Sempah ke Bentong pula akan dilebarkan daripada dua lorong kepada tiga lorong.

Katanya, projek berkenaan amat penting berikutan peningkatan jumlah trafik harian di lebuh raya itu yang naik mendadak berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Pada tahun 1997, jumlah trafik harian kira-kira 41,000 kenderaan. Sekarang sudah meningkat kepada 170,000 kenderaan sehari.

“Jadi, bayangkan bagaimana projek ini nanti boleh membantu memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan terowong tersebut akan menggunakan kaedah yang lebih sesuai dengan keadaan fizikal di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kaedah itu dipilih berbanding penggunaan mesin pengorek terowong yang biasa digunakan dalam pembinaan terowong.

“Tahniah kepada AFA kerana memilih kaedah yang dianggap lebih sesuai dan terbaik,” katanya. – UTUSAN

The post Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak siap 2029  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved