Projek pembangunan negara terjejas jika kerajaan bertukar

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Projek pembangunan negara terjejas jika kerajaan bertukar

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan dan diteruskan dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) kesinambungan perancangan pembangunan negara di negeri itu dapat diteruskan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Melaka sebelum ini dicadangkan menjadi lokasi sebuah stesen utama bagi projek Laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dengan kawasan Ayer Keroh dikenal pasti sebagai lokasi pembinaannya.

Katanya, bagaimanapun projek berkenaan antara perancangan pembangunan yang tidak menjadi kenyataan susulan perubahan landskap politik negara.

“Dahulunya kita sudah merancang dalam satu daripada agenda penting untuk mengadakan laluan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura. Melaka adalah stesen yang paling besar dalam perancangan asal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, stesen yang dicadangkan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh itu turut dirancang mempunyai reka bentuk berskala besar berkonsepkan kapal dagang sedang berlabuh.

Ahmad Shabery berkata, perubahan kerajaan menyebabkan beberapa perancangan pembangunan terdahulu tidak diteruskan, sekali gus menyifatkan keadaan itu sebagai satu kerugian kepada negara.

“Ini semua satu kerugian apabila berlaku pertukaran kerajaan. Perkara yang baik dan sudah dirancang banyak yang akhirnya dihapuskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut mengimbas sejarah perkhidmatan kereta api di Melaka yang pernah menghubungkan Tampin dengan negeri itu sekitar 1904 hingga 1905 sebelum perkhidmatannya terhenti ketika Perang Dunia Kedua.

Katanya, kewujudan laluan berkenaan masih boleh dikesan menerusi peninggalan stesen kereta api lama di Alor Gajah.

Beliau turut mendakwa landasan kereta api berkenaan dibongkar oleh tentera Jepun untuk digunakan dalam pembinaan landasan kereta api maut di Burma ketika Perang Dunia Kedua.

“Apabila Jepun datang, mereka mengambil rel kereta api itu untuk digunakan bagi projek kereta api maut di Burma. Sampai sekarang, kereta api itu tidak dikembalikan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Projek pembangunan negara terjejas jika kerajaan bertukar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved