Projek perintis teknologi tangkap karbon di kilang keluli Pantai Timur dijangka selesai hujung 2027 – MITI

LocalEnvironment
13 Oct 2026 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek perintis teknologi tangkap karbon di kilang keluli Pantai Timur dijangka selesai hujung 2027 – MITI Image from: Projek perintis teknologi tangkap karbon di kilang keluli Pantai Timur dijangka selesai hujung 2027 – MITI liza13/10/2026 - 12:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang melaksanakan projek perintis teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di sebuah kilang keluli di Pantai Timur yang dijangka selesai pada penghujung 2027.

 

Projek itu bertujuan menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial teknologi berkenaan dalam rantaian bekalan industri besi dan keluli, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

“Projek itu akan menghasilkan data penting berkaitan kos dan pelepasan karbon bagi membantu menentukan pendekatan sesuai untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor perindustrian Malaysia,” katanya.

 

Kementerian itu menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai inisiatif kerajaan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan menyediakan data pelepasan karbon yang boleh diaudit bagi memenuhi keperluan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (EU-CBAM) dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global.

 

Industri keluli berdepan tuntutan pengurangan karbon

MITI mengenal pasti industri besi dan keluli sebagai sektor keutamaan kerana sumbangannya yang ketara terhadap pelepasan karbon daripada proses perindustrian, selain berdepan tuntutan pelaporan karbon di pasaran antarabangsa.

 

Menurut kementerian itu, usaha meningkatkan kecekapan tenaga dan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu sahaja tidak mencukupi untuk mengurangkan pelepasan daripada pengeluaran keluli.

 

Sehubungan itu, teknologi CCUS dilihat sebagai langkah pelengkap untuk membantu industri mengurangkan pelepasan karbon yang terhasil daripada proses pengeluaran.

 

Teknologi CCUS melibatkan penangkapan karbon dioksida yang dihasilkan daripada aktiviti industri untuk digunakan semula atau disimpan, sekali gus mengurangkan pelepasannya ke atmosfera.

 

Bagaimanapun, projek perintis yang dijangka selesai pada penghujung 2027 itu akan menilai kebolehlaksanaan teknologi berkenaan, termasuk dari segi teknikal dan komersial, sebelum potensi penggunaannya dalam industri dapat ditentukan.

 

PMKS dibantu sediakan data pelepasan karbon

Dalam pada itu, MITI memperkenalkan rangka kerja i-ESGStart bagi membantu syarikat menerima pakai amalan mampan dan mengira pelepasan gas rumah hijau daripada operasi mereka.

 

Melalui Institut Keluli Malaysia (MSI), kementerian itu turut menyediakan rangka kerja ESG khusus industri, latihan dan khidmat perundingan yang disesuaikan untuk PMKS, khususnya syarikat yang tidak mempunyai pegawai khusus bagi menguruskan aspek kelestarian.

 

Inisiatif itu bertujuan membantu pengeluar tempatan menyediakan data karbon yang boleh dijejaki dan diaudit, sekali gus menyokong pematuhan terhadap keperluan pelaporan karbon antarabangsa.

 

Keupayaan menyediakan data pelepasan karbon yang boleh disahkan juga penting bagi membantu pengeluar tempatan mengekalkan akses kepada rantaian bekalan global serta pembiayaan berkaitan ESG.

 

Usaha berkenaan mencerminkan keperluan industri pembuatan Malaysia untuk meningkatkan kesediaan dalam memenuhi tuntutan karbon antarabangsa, khususnya bagi sektor yang mempunyai pelepasan tinggi seperti industri besi dan keluli. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved