Projek rel di Australia kukuhkan pendapatan Gamuda dalam jangka sederhana, kata BIMB Research

LocalBusiness & Finance
9 Jan 2026 • 3:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek rel di Australia kukuhkan pendapatan Gamuda dalam jangka sederhana, kata BIMB Research image is not available haziq09/01/2026 - 15:34 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Jan – Gamuda Bhd dijangka menikmati keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh dalam jangka sederhana apabila kehadirannya dalam projek rel di Australia terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan kedudukan kumpulan itu sebagai kontraktor pilihan bagi kerja-kerja infrastruktur metro yang kompleks.

 

Perkembangan terbaharu ini mencerminkan strategi Gamuda memanfaatkan kepakaran teknikal bagi meraih kerja berulang di pasaran maju yang mempunyai saluran projek pengangkutan jangka panjang.

 

Gamuda baru-baru ini mengumumkan unitnya telah disenarai pendek untuk Pyrmont Integrated Station Development di bawah projek Sydney Metro West, menerusi konsortium yang terdiri daripada Gamuda Engineering, Gamuda Australia dan Urban Property Group Australasia.

 

Stesen Pyrmont merupakan sebahagian daripada laluan Sydney Metro West sepanjang 24 kilometer yang menghubungkan Greater Parramatta ke daerah pusat perniagaan Sydney, dengan sasaran siap pada Mei 2031.

 

Menurut BIMB Research, kontrak tender tersebut adalah penting memandangkan projek Sydney Metro West merangkumi empat pakej utama dengan nilai program keseluruhan kira-kira A$11.4 bilion, yang kesemuanya telah dianugerahkan.

 

Pecahan nilai pakej tersebut ialah pakej seluruh laluan bernilai A$3.2 bilion, pakej stesen barat A$2.7 bilion, pakej tren, sistem, penyelenggaraan dan operasi A$3.96 bilion serta pakej Pembangunan Stesen dan Presint Hunter Street bernilai A$1.5 bilion.

 

BIMB Research mengekalkan saranan “beli” ke atas Gamuda dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.73, disokong oleh keterlihatan buku pesanan yang kukuh.

 

“Dari segi penilaian, saham ini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan sebanyak 13.6 kali, jauh di bawah purata sejarah 10 tahun sekitar 18 kali, yang kami lihat sebagai menarik berikutan peningkatan keterlihatan pendapatan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan keyakinan terhadap kebarangkalian kejayaan Gamuda.
“Memandangkan Pakej Stesen Pyrmont mempunyai ciri risiko teknikal dan penghantaran yang serupa dengan pakej stesen Sydney Metro lain yang sebelum ini berjaya diperoleh Gamuda, kami melihat kebarangkalian kejayaan yang tinggi,” menurut BIMB Research.

 

Ia menganggarkan kontrak tersebut berpotensi bernilai kira-kira A$1.5 bilion (RM4.1 bilion), tertakluk kepada pegangan ekuiti akhir Gamuda.

 

Sekiranya berjaya diperoleh, projek itu akan memberi peningkatan kepada pengisian semula buku pesanan dan menyokong sasaran pengurusan untuk meningkatkan buku pesanan tertunggak kumpulan kepada RM50 bilion menjelang akhir 2026, berbanding RM45.9 bilion pada akhir 2025.

 

BIMB Research turut menegaskan rekod prestasi terkini Gamuda dalam projek Sydney Metro West terus menyokong pandangan positifnya terhadap prospek kumpulan itu. - DagangNews.com

Terkini standard