
PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak teragak-agak menamatkan kontrak kontraktor terlibat isu projek pembangunan fasiliti kesihatan yang lewat atau ‘projek sakit’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM tidak akan berkompromi dengan kelewatan yang tidak munasabah bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.
“Kita tidak akan teragak-agak menamatkan kontrak kontraktor yang gagal menunjukkan kemajuan fizikal meyakinkan di tapak.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya, kerajaan negeri dan syarikat utiliti untuk merungkai masalah di peringkat akar umbi,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, sebentar tadi.
Beliau berkata, perkara itu telah dibentangkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian KKM Bilangan 2 Tahun 2026 pada pagi tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, fokus utama pasukan KKM adalah meneliti dan memantau rapi lebih 1,300 projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Sehingga kini kata beliau, 268 projek telah siap (37.75 peratus) di bawah inisiatif Cakna Madani dengan lebih banyak klinik desa kini semakin selesa, kapasiti pusat hemodialisis bertambah, dan peralatan usang diganti.
“10 fasiliti kesihatan utama telah siap setakat Ogos ini, termasuk Pusat Darah Wilayah Utara (Kedah), Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (Negeri Sembilan), dan Klinik Kesihatan Manjoi (Perak).
“Saya mahu pastikan setiap perancangan ini bukan hanya cantik di atas kertas, tetapi manfaatnya mesti segera sampai kepada rakyat di bawah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Projek sakit: KKM sedia tamat kontrak kontraktor appeared first on Kosmo Digital.






