Caj CRESS turun 10%, MPSEA gesa kelulusan projek tenaga hijau dipercepat

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Caj CRESS turun 10%, MPSEA gesa kelulusan projek tenaga hijau dipercepat Image from: Caj CRESS turun 10%, MPSEA gesa kelulusan projek tenaga hijau dipercepat sarah16/10/2026 - 15:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pengurangan keseluruhan caj di bawah Pakej Pemecutan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebanyak 10% dijangka memberikan lebih kepastian kepada pemaju tenaga hijau, namun proses kelulusan yang pantas dan garis panduan jelas menjadi faktor penting bagi memastikan projek dapat direalisasikan sebelum tarikh akhir 2028.

 

Persatuan Industri Fotovoltaik dan Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA) menyambut baik pengenalan pakej yang dikenali sebagai Pakej Pemecutan CRESS (CAP) itu, khususnya usaha kerajaan meningkatkan ketelusan tarif, memperbaiki pengagihan kos dan memberikan kepastian kepada pelabur tenaga boleh baharu.

 

Menurut MPSEA, mekanisme baharu itu menetapkan Caj Akses Sistem (SAC) sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) kepada pemaju tenaga boleh baharu yang layak untuk tempoh 10 tahun, dengan syarat projek memulakan operasi komersial selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028.

 

“Dengan projek perlu memulakan operasi komersial menjelang 31 Disember 2028, kelulusan yang tepat pada masanya dan garis panduan pelaksanaan yang jelas amat penting,” kata persatuan itu dalam kenyataan.

 

MPSEA berkata, komponen tarif tambahan sebanyak 4 sen/kWj yang dikenakan kepada pengguna hijau pula bertujuan mengambil kira kos berkaitan penggunaan sistem elektrik, dengan kadar berkenaan tertakluk kepada semakan tarif mengikut tempoh kawal selia semasa.

 

Ketelusan tarif penting untuk keyakinan pelabur

Persatuan itu menjelaskan, struktur baharu tersebut mewakili pengurangan keseluruhan sebanyak 10% berbanding SAC terdahulu sebanyak 20 sen/kWj, yang sebelum ini telah diturunkan daripada kadar asal 25 sen/kWj. Penetapan SAC untuk tempoh 10 tahun juga menangani antara kebimbangan utama industri berkaitan pembiayaan dan daya maju projek.

 

Bagaimanapun, MPSEA mengakui masa pengumuman pengurangan SAC dan pengenalan komponen tarif tambahan telah mengundang kritikan kerana memberikan mesej yang bercampur-campur kepada pasaran. Pada masa sama, persatuan itu mengiktiraf usaha kerajaan mewujudkan pengagihan kos dan risiko yang lebih adil antara pemaju serta pengguna hijau, sambil melindungi kepentingan keseluruhan sistem elektrik.

 

“Kejayaan CRESS tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah permohonan yang diterima, tetapi melalui bilangan projek yang berjaya memperoleh pembiayaan, dibangunkan dan membekalkan tenaga elektrik boleh baharu kepada perniagaan di Malaysia,” menurut MPSEA, sambil menggesa kerajaan, pengawal selia dan pihak berkaitan bekerjasama rapat bagi memastikan kejayaan pelaksanaan CAP. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved